Hanis Azizan mahu terus jaringkan gol, idam bawa kemenangan untuk Selangor
Penyerang pasukan bola sepak wanita Selangor, Hanis Azizan bertekad untuk terus mempamerkan aksi cemerlang selepas dua jaringannya berjaya membantu pasukannya membenam pasukan Kelantan dengan jaringan besar 9-2.
Pasukan Selangor berjaya menunjukkan aksi terbaik selepas mendominasi permainan sejak wisel pertama.
“Saya akan bermain seperti apa yang dilatih dan diajar oleh jurulatih sebelum ini.
Saya bermain sebagai penyerang utama saya memang harap saya dapat jaringkan gol lagi, saya cuma mahu pasukan Selangor menang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kemenangan ini meletakkan mereka selesa mendahului Kumpulan B dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022.
Namun, pemain perlu bersedia dengan jadual padat yang telah disusun sepanjang kejohanan ini bagi memastikan mereka di dalam keadaan terbaik untuk diturunkan.
Para pemain perlu memainkan tanggungjawab tersendiri dalam menyediakan diri mereka untuk sentiasa mencapai tahap tertinggi prestasi mereka.
“Mungkin rehat tidak cukup tetapi sebagai pemain kita perlu disiplin kerana kita sudah diberitahu awal tentang jadual ini.
Selepas ini kami perlu terus berehat dan memberi fokus kepada perlawanan seterusnya.”
Selain memiliki pemain berkualiti, Selangor dilihat memiliki kelebihan dari segi taktikal permainan yang berjaya mengekang kemaraan barisan serangan pasukan Kelantan.
Corak permainan ini bakal membantu pasukan ini untuk terus memberi saingan yang kuat dalam kejohanan ini yang turut memiliki beberapa pasukan hebat seperti Melaka United dan Negeri Sembilan.
“Selangor bermain dengan strategi yang diterapkan oleh jurulatih, saya rasa ini momentum yang baik untuk pasukan kami.
Jadi saya berharap kami dapat kekalkan rentak ini untuk bertemu lawan yang sukar, Negeri Sembilan yang telah menjadi juara Zon Selatan pada esok hari.”
Perlawanan menentang Negeri Sembilan bakal menyajikan aksi yang cukup sengit daripada kedua-dua pasukan ini.