Bojan Hodak waspada ancaman Dimitri Petratos, yakin ATK Mohun Bagan lebih tertekan menentang KL City
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui bahawa bekas anak buahnya ketika di Kelantan FA, Dimitri Petratos bakal memberi ancaman dalam aksi separuh akhir interzone Piala AFC menentang ATK Mohun Bagan esok.
Menurutnya, beliau mempunyai visi yang baik serta mampu membuat gerakan bahaya yang menentukan perlawanan.
“Ketika beliau bermain di bawah saya umurnya masih muda sekitar 19 atau 20 tahun dan selepas itu beliau berkembang menjadi pemain yang amat bagus.
Walaupun beliau mungkin tidak cergas sepenuhnya untuk perlawanan ini, sekiranya beliau turun separuh masa sekalipun, beliau mampu melakukan satu gerakan yang mengubah perlawanan,”
katanya.
Menurut Hodak, beliau ada berpesan kepada anak buahnya supaya berjaga-jaga dengan Petratos dan mengawal pemain itu dengan baik.
Tambahnya, KL City akan turun tanpa tekanan seperti ATK Mohun Bagan yang beraksi di laman sendiri di hadapan ramai penyokong.
“Saya mahu para pemain menikmati perlawanan itu, apa yang paling penting adalah memberi yang terbaik atas padang.
Lawan kami adalah pasukan yang baik, mereka mempunyai ramai pemain yang bagus tetapi mungkin mereka terpaksa berdepan tekanan daripada penyokong esok.”
Dalam pada itu, kapten KL City, Paolo Josue berkata, persiapan pasukan berjalan dengan baik walaupun terpaksa berdepan kesukaran ketika perjalanan.
Beliau berkata, ini adalah peluang buatnya dan rakan-rakan untuk menaikkan lagi martabat bola sepak negara dan juga membanggakan para penyokong kelab itu.