Nur Syafiqah idam untuk terus wakili Malayan Tigress, gembira kalahkan juara LWN Zon Selatan

181

Pemain pasukan wanita Selangor, Nur Syafiqah akui bersedia sekiranya kembali dipanggil untuk mewakili skuad wanita negara dalam masa terdekat.

Terdahulu, beliau merupakan salah seorang pemain yang telah menggalas cabaran negara di kejohanan Piala AFF Wanita 2022 di Filipina.


Meskipun pasukan negara gagal menyinar di kejohanan tersebut, Syafiqah tetap memasang impian untuk terus mewakili Malayan Tigress sekiranya diperlukan.

“Sasaran peribadi saya buat masa ini adalah untuk saya mendapat panggilan mewakili pasukan kebangsaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

 Beliau yang beraksi cemerlang pada hari ini berjaya membantu pasukannya menang tipis ke atas juara Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Selatan, Negeri Sembilan 2-1.

Kelincahan Syafiqah di atas padang berjaya menghasilkan beberapa lorongan merbahaya ke arah gawang lawan termasuk membantu dalam menghasilkan jaringan pada perlawanan tersebut.

Corak permainan yang sedikit berbeza dengan perlawanan pertama, pasukan Selangor dilihat lebih menguasai perlawanan.

“Kita tukar taktikal untuk menentang Negeri Sembilan, tindakan tersebut menjadi dan kami sangat gembira untuk kalahkan pasukan terkuat di Zon Selatan.”

Namun, rentak pasukan Selangor dilihat sedikit menurun pada penghujung babak kedua dan perkara tersebut hampir menghukum mereka dengan jaringan penyamaan dari pasukan lawan yang telah dibatalkan kerana offside.

“Mungkin terlalu penat dan jurulatih juga menukar taktikal untuk meletakkan dua stopper di bawah untuk memadatkan bahagian tengah.

Tapi pemain sedikit namun kita tetap berjaya pertahankan kelebihan satu gol.”

Syafiqah tidak ingin terlalu terkesan dengan jadual yang padat, sebaliknya akan terus mencari alternatif terbaik untuk memberi aksi berkualiti pada setiap perlawanan.

Kecekalan dan komitemen yang diberikan oleh semua pemain pasukan berjaya meletakkan mereka selesa mendahului Kumpulan B dengan dua kemenangan berturut-turut.

“Sudah semestinya tidak cukup rehat tapi tiada perkara yang boleh dilakukan, kami terus tidur dan makan dengan segera untuk mendapatkan rehat.”

Selepas ini, pasukan Selangor dijadual bertemu Sarawak pada perlawanan penutup saingan kumpulan.