Pemain Pulau Pinang sudah lakukan yang terbaik, hadir ke PTSR dengan serba kekurangan

204

Pembantu jurulatih pasukan wanita Pulau Pinang, Irwan Rashidi tetap gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya meskipun tewas di tangan pasukan Sabah, 4-0.

Beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi dan berpuas hati dengan prestasi semasa berdasarkan persiapan yang dilakukan pasukannya sebelum melangkah ke kejohanan ini.


“Pemain saya sudah lakukan yang terbaik walaupun kami datang dengan serba kekurangan kerana ada pemain yang terlibat dengan SUKMA, cedera dan sebagainya.

Pemain yang ada ini telah berikan aksi terbaik untuk pasukan Pulau Pinang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, ketiadaan liga-liga wanita di kawasan sekitar negeri tersebut menyebabkan mereka sukar mencari pemain-pemain yang berkualiti.

Pemain sedia ada juga mempunyai kekangan dari segi tanggungjawab dan pekerjaan selain bermain bola sepak untuk pasukan Pulau Pinang.

Perkara sebegini sedikit sebanyak menyumbang kepada kekurangan pasukan Pulau Pinang yang terpaksa berhadapan dengan dua kekalahan berturut-turut di peringkat kumpulan.

“Kami memang letak sasaran untuk layak ke PTSR sewaktu di LWN, kami tahu pasukan di sini kesemuanya lebih bersedia.

Kami hanya mampu berlatih dua kali sahaja dalam seminggu dengan kekangan pemain yang bekerja, ada yang kerja kilang dan berniaga.”

Namun, penyertaan di kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) tahun ini merupakan peluang besar yang perlu dimanfaatkan oleh para pemain muda pasukan dalam menimba seberapa banyak pengalaman untuk digunakan pada masa hadapan.

Aksi menentang pemain-pemain berkualiti dari pasukan lain seperti Sabah, Melaka United dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang boleh membantu dalam meningkatkan lagi kualiti pemain.

“60-70% pemain yang dibawa pada kejohanan kali ini adalah pemain pertama kali beraksi di kejohanan ini dan tidak pernah bermain di liga besar.

Saya cuba bagi peluang untuk mereka mencari pengalaman di kejohanan yang tinggi seperti PTSR.”

Selepas ini, Pulau Pinang perlu berhadapan Melaka United di aksi terakhir Kumpulan A.