Kontrak pemain bocor, mungkin ramai pemain Selangor FC ‘cabut’ lari musim depan?

19,513

Bagi peminat bola sepak tanah air, semua sedia maklum mengenai kemelut yang berlaku di antara Ultra Selangor (UltraSel) yang sebelum ini lantang mendesak pihak pengurusan Selangor FC melakukan tindakan drastik bagi memulihkan prestasi ‘yo yo’ pasukan itu musim ini.

Pelbagai usaha dilakukan oleh UltraSel termasuk membawa sepanduk, kain rentang termasuk chant kepada pengurusan Selangor untuk ambil tindakan dan akhirnya satu tindakan drastik telah diambil oleh Presiden Selangor iaitu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.


Tindakan itu disambut baik oleh peminat Gergasi Merah, namun baru-baru ini UltraSel telah membuat pendedahan mengenai insiden dan isu yang berlaku dalam kem Merah Kuning itu yang mana telah berlakunya pembocoran maklumat mengenai rundingan kontrak antara pemain dan pihak pengurusan.

Dalam pendedahan tersebut, UltraSel berkata insiden itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sudah banyak kali berlaku dan ia adalah satu kesalahan yang cukup besar kerana rundingan tersebut perlu dilakukan secara tertutup dan hanya melibatkan pihak pengurusan tertinggi sahaja.

Jadi persoalan yang ditimbulkan siapakah ‘pihak’ yang membocorkan maklumat rahsia itu kepada pihak tertentu.

Malah mereka juga berkata tindakan yang diambil kepada pihak yang membocorkan maklumat rahsia seperti itu telah membuatkan orang hilang rasa hormat terhadap kepimpinan pasukan dan ia sudah pasti akan memberi kesan kepada prestasi pasukan.

Sudah pasti maklumat yang bocor ini akan membuatkan pemain-pemain yang terkesan akan berasa tidak ‘selamat’ lagi bersama pasukan itu dan tidak mustahil jika mereka mengambil tindakan ‘cabut’ dari pasukan itu kerana tidak mengamalkan profesionalisme.

Selangor mempunyai ramai pemain bagus baik pemain senior dan juga pemain muda dan jika perkara tidak diingini berlaku (pemain cabut lari), sudah pasti ia akan menjadi satu kerugian yang cukup besar.

Baru-baru ini ketika perlawanan Liga Super membabitkan Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), UltraSel tetap turun ke stadium tetapi pada malam tersebut mereka tidak chant langsung sepanjang tempoh perlawanan.

Sebaliknya mereka seolah-olah sedang membuat protes dengan memakai baju hitam dan diam sepanjang tempoh perlawanan.

Ketika perlawanan belum bermula, penyokong JDT iaitu Boys of Straits telah menyindir UltraSel menerusi chant mereka dengan berkata UltraSel; ‘Ultras KPI’ dan tidak lama kemudian UltraSel membalas chant itu dengan sindirin; ‘Boys of Subsidi’.

Selain itu, UltraSel turut melontarkan chant kritikan terhadap pengadil yang memberikan penalti kepada JDT.

Walaupun perlawanan tersebut rancak dengan kedua-dua pasukan membuat serangan bertali arus, namun ia agak suram berikutan tiada chant daripada UltraSel yang sebelum ini akan chant dari awal sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan ia sedikit sebanyak memberi sinar harapan baru buat peminat yang dahagakan prestasi cemerlang pasukan itu.

Diharap segala permasalahan yang berlaku dalam pengurusan Selangor dapat diselesaikan dan tiada lagi ‘parasit’ dalam pengurusan yang akan menjahanamkan segala usaha untuk mengembalikan reputasi mereka sebagai King of Malaya.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen