Pasukan lain patut ikut jejak langkah JDT bagi subsidi kepada penyokong?

5,104

Bola sepak dan penyokong berpisah tiada! Hubungan pasukan bola sepak dan penyokong boleh diibaratkan seperti ‘kuku dan isi’ kerana kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.

Perlawanan bola sepak akan jadi suram dan membosankan jika tiada penyokong yang datang ke stadium untuk beri sokongan, manakala jika tiada bola sepak maka penyokong tidak wujud.


Namun bagi penyokong bola sepak pula terdapat beberapa jenis iaitu ada yang sanggup mengeluarkan wang sendiri dengan membeli tiket, kos perjalanan, beli jersi pasukan kesayangan dan lain-lain; ada pula yang hanya akan muncul apabila pasukan kegemaran layak ke perlawanan akhir (bangsa final) dan ada juga penyokong yang hanya akan turun stadium jika dapat subsidi (tiket, pengangkutan dan lain-lain).

Apabila bercakap mengenai penyokong subsidi ini sudah pasti tidak dapat mengelak dari mengaitkannya dengan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Boys of Strait (BOS) dan penyokong JDT yang lain.

Ia bukan lagi perkara rahsia kerana perkara ini sering diperkatakan di media sosial dan isu ini kembali timbul baru-baru ini ketika perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBSJ) yang menyaksikan UltraSel telah menyindir BOS dengan chant ‘Boys of Subsidi’.

Video chant tersebut telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tanah air.

Malah ada seorang penyokong yang memberi komen dengan mendedahkan bahawa pengurusan JDT akan menyediakan bas percuma setiap kali pasukan Harimau Selatan bermain di tempat lawan.

Selain bas percuma, anggota BOS juga akan menerima ‘upah ciput’ iaitu RM20 setiap seorang yang dikatakan tidak berbaloi.

Berhubung ‘upah ciput’ RM20, satu sumber telah tampil mengesahkan bahawa perkara tersebut tidak benar.

Berbeza pula dengan penyokong pasukan lain yang tidak boleh dikatakan tidak pernah mendapat subsidi daripada pengurusan mereka sendiri sebaliknya mereka sanggup mengeluarkan wang sendiri demi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.

Mungkin disebabkan pengurusan pasukan lain tidak mempunyai kewangan kukuh seperti JDT yang merupakan pasukan terkaya di Liga Malaysia membuatkan mereka tidak mampu memberi subsidi kepada penyokong sendiri.

Sumber foto: FB

Namun realitinya penyokong bola sepak di mana-mana akan berasa janggal jika diberi subsidi kerana wang yang dikeluarkan sendiri untuk menyokong pasukan akan menjadi sumber pendapatan sesebuah pasukan untuk kelangsungan pasukan itu sendiri.

Kelab gergasi dunia seperti Manchester United, Barcelona, Manchester City mahu pun Real Madrid pun tidak beri subsidi kepada penyokong mereka.

Peminat JDT boleh dikatakan paling bertuah kerana mempunyai pemilik iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang sangat hebat kerana berjaya menjadikan pasukan sebagai salah sebuah gergasi di Asia Tenggara.

Malangnya, usaha berterusan TMJ termasuk menghabiskan ratusan juta untuk membina stadium berkelas dunia dan membawa pemain terbaik masih gagal menarik penyokong untuk ke stadium sehingga memaksa TMJ sendiri mengeluarkan kenyataan menyeru penyokong untuk turun ke stadium.

Contoh terbaik dan paling terbaru adalah perlawanan akhir Piala FA membabitkan JDT menentang Terengganu FC pada 10 September ini.

Perbezaan ketara dapat dilihat antara kedua-dua penyokong apabila penjualan tiket untuk penyokong Terengganu habis dijual dalam tempoh sangat singkat, manakala penjualan tiket oleh penyokong JDT pula sehingga kini masih dijual.

Sumber foto: FB

Ia memperlihatkan bola sepak di Johor masih lagi belum menjadi ‘budaya’ seperti di negeri-negeri lain.

Dilaporkan sejumlah 56 buah bas akan bergerak ke Bukit Jalil dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan 12 bas rombongan dari Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim, sembilan buah bas dari Penyokong ‘Gate C’ manakala 35 buah dari BOS.

Berbeza pula dengan penyokong Sang Penyu yang tiada masalah untuk mengeluarkan wang sendiri demi pasukan tercinta, contohnya penduduk Kampung Wakaf Dua di Terengganu yang bukan sahaja sanggup mengeluarkan kos untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil, malah sanggup berbelanja lebih RM500 untuk bergotong-royong menyiapkan 10 kain rentang dengan kata-kata semangat.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, inisiatif yang dilakukan penduduk kampung tersebut adalah acara wajib penduduk di situ setiap kali pasukan mereka layak ke final sekaligus memperlihatkan perbezaan mentaliti peminat Terengganu dan JDT.

Jadi persoalannya, adakah pada perlawanan akhir nanti kita akan menyaksikan banyak tempat duduk kosong di kawasan penyokong JDT? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen