Zii Jia tidak boleh mengalah, ramai terus menyokong kebangkitan di belakang
Pemain perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia perlu terus bangkit dan melupakan kekecewaannya untuk kembali berada di tahap terbaiknya semula.
Zii Jia mempamerkan aksi kurang menyakinkan pada dua aksi terakhir di Kejohanan Dunia serta Terbuka Jepun baru-baru ini.
Persembahan yang ditunjukkan oleh beliau menimbulkan pelbagai reaksi dari peminat sukan badminton tanah air yang menanti pemain tersebut meraih kejayaan selepas mengundur diri pada beberapa kejohanan sebelum ini termasuk Sukan Komanwel 2022.
Namun, Zii Jia tidak boleh mengalah dengan komen negatif dan tanggapan yang diberikan oleh orang ramai tatkala beliau masih memiliki teman seperjuangan yang setia menyokong di belakangnya.
Terdahulu, juara dunia, Soh Wooi Yik telah menyatakan sokongan beliau bagi untuk kembali melihat rakan baiknya itu terus menggegarkan arena badminton dunia.
Zii Jia dan Wooi Yik pernah bergandingan sewaktu merangkul pingat perak di Kejohanan Remaja B-15 pada tahun 2015 di China.
Sokongan ini amatlah penting kerana buat masa ini Zii Jia menerima tekanan yang sangat besar sebagai seorang pemain muda.
Selepas berjaya memenangi Kejohanan Seluruh England pada tahun 2021, nama Zii Jia terus dijulang dan diangkat sebagai pemain badminton harapan untuk masa depan negara.
Kejayaan tersebut juga menyebabkan beliau terus menerima bebanan yang semakin berat selepas kritikan demi kritikan dilontarkan kepada beliau kerana gagal mengulangi rentak cemerlang tersebut.
Lebih menyedihkan, Zii Jia terus dikecam meskipun beliau berjaya memenangi beberapa kejohanan seperti Terbuka Thailand dan Kejohanan Badminton Asia pada Mei lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu perlu menyedari sokongan yang terus diberikan oleh rakan-rakan seperti pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dan juga pemain beregu wanita, Teoh Mei Xing.
Tambahan pula, Zii Jia yang juga rapat dengan seorang lagi pemain beregu negara, Pearly Tan perlu mencontohi semangat juang dipamerkan oleh rakannya itu.
Kedua-dua pemain ini mempunyai hubungan yang baik disebabkan mereka mula berlatih bersama-sama di usia remaja.
Kehadiran rakan seperjuangan inilah yang perlu menjadi motivasi untuk Zii Jia bangkit semula untuk mencapai tahap sebenar beliau.
Beliau juga perlu menghargai sokongan tanpa henti yang telah diberikan oleh peminat setianya yang berada di belakang tanpa mengira keputusan yang dicapai.
Masih terlalu awal untuk beliau berputus asa, beliau memiliki potensi yang cukup besar untuk terus bergelar jaguh badminton dunia disebabkan umurnya yang masih muda,
Ramai yang masih percaya akan kemampuan anak jati Kedah ini untuk kembali menggegarkan pentas dunia.
Ayuh, bangkit kembali Lee Zii Jia!