Asraruddin Putra gesa pemain muda keluar dari zon selesa, timba pengalaman secukupnya di luar negara

718

Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Asraruddin Putra Omar menyeru para pemain muda Malaysia untuk menjadi lebih berani keluar mencari pengalaman sekiranya memiliki peluang berkelana ke luar negara.

Asra yang berjaya menampilkan aksi cemerlang ketika mewakili pasukan remaja negara di kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) pada tahun 2007 berjaya menarik perhatian kelab dari Belanda, PSV Eindhoven yang telah memanggil beliau untuk menjalani sesi percubaan.


“Kalau tanya saya, saya memang sarankan mereka untuk keluar belajar dan menimba ilmu daripada luar negara.

Jangan duduk di zon selesa, ada peluang terus pergi dapatkan pengalaman untuk diri sendiri tanpa perlu menghiraukan kata-kata orang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa turut berharap agar pemain-pemain muda negara tidak mensia-siakan sebaran peluang yang dimiliki.

Negara Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam semakin mendominasi bola sepak di rantau ini selepas kebanyakan pemain mereka dihantar ke pasukan luar negara seperti Jepun yang merupakan gergasi Asia.

Perkara ini memberi kelebihan yang besar kepada negara-negara tersebut dalam meningkatkan lagi kualiti setiap pemain yang mampu menyumbang aksi terbaik sewaktu mewakili skuad kebangsaan mereka.

“Dalam bola sepak ini bukan kita sahaja yang pandai bermain bola, ramai lagi yang mampu bermain dan kalau kita lepaskan peluang ini ramai orang yang sedang menanti untuk menyambar.

Jadi, jangan sia-siakan dan terus pasang impian untuk beraksi di luar negara seperti pemain Jepun dan Korea Selatan yang telah bermain di Piala Dunia.”

Dalam pada itu, Asra yang sebelum ini terpaksa mengumumkan persaraan akibat kecederaan yang dihadapinya kini aktif beraksi bersama pasukan Kelana United di dalam liga sosial yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Terbaru, Asra bersama rakan sepasukan seperti bekas pemain Melaka United, Razman Roslan berjaya membawa pasukan Kelana United memenangi Liga Divisyen 1 FAS.

Pemain berusia 34 tahun tersebut turut berada di tahap yang baik selepas berjaya kembali daripada kecederaan yang dihadapi sebelum ini sewaktu bersama pasukan Johor Darul Ta’zim FC.

“Saya sudah pulih sepenuhnya, tiada apa masalah jadi sekarang saya lebih kepada ingin kekal cergas.

Saya rasa gembira dengan perancangan yang dimiliki oleh jurulatih dan pasukan ini dalam membantu memberi peluang beraksi bekas-bekas pemain serta pemain muda untuk mencari pengalaman.”

Kehadiran Asra serta pemain berpengalaman yang lain dimanfaatkan sebaiknya oleh para pemain muda yang dimiliki oleh kelab dalam usaha meningkatkan kualiti persembahan mereka.

Bantuan pemain-pemain ini akan mampu membawa lebih banyak kejayaan bermakna selepas ini buat Kelana United.

“Semua pemain bersedia untuk belajar, mereka dengar apa yang kami nasihat dan tunjukkan.

Kami membantu mereka untuk memahami fungsi setiap posisi untuk mereka menunjukkan sewaktu aksi di dalam padang.”