Kelana United ada matlamat tersendiri untuk jaga kebajikan bekas pemain profesional, sediakan peluang untuk mereka bermain
Ketua jurulatih Kelana United, Fairuz Montana menegaskan matlamat utama pasukan tersebut ditubuhkan yang bertujuan memberi fokus kepada penjagaan bekas-bekas pemain yang masih memiliki minat untuk beraksi.
Montana juga percaya faktor inilah yang menjadikan mereka terus utuh dan semakin kuat selepas lima tahun.
“Pasukan ini telah bertahan selama lima tahun, pemilik sentiasa mengutamakan kebajikan pemain.
Kebajikan bekas pemain jadi matlamat utama untuk Kelana United,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Perubahan demi perubahan telah berjaya dicapai oleh pasukan ini tatkala mereka bermula dari bawah.
Kini, mereka berjaya membawa masuk nama-nama besar termasuk seperti bekas pemain negara, Asraruddin Putra Omar serta Razman Roslan.
Selain mereka, pasukan ini turut dibarisi oleh pemain berpengalaman seperti bekas pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azmeer Yusof.
“Kami mula beraksi dengan padang yang kelihatan seperti sawah, padang taman dan sekarang kami berpusat di padang Arena Subang Jaya.
Jadi ada peningkatan yang dapat dilihat dari segi pengurusan sebuah pasukan.”
Bergiat aktif dari tahun 2014, Kelana United terus menempa nama dan semakin dikenali sebagai sebuah pasukan yang gah di liga sosial.
Perkara ini dikongsi kan oleh penolong jurulatih pasukan, Shaiful Yazan yang turut sama-sama bekerja keras dalam membangunkan kelab ini.
“Dari 2014-2018, kami masih menggunakan nama pasukan lain tetapi kami memutuskan untuk memilih nama baru.
Selepas itu, pemilik panggil Coach Fairuz Montana jadi selepas itu kami mula membawa masuk beberapa orang bekas pemain.”
Jelas sekali, Kelana United memiliki wawasan yang cukup jelas dalam menjadi antara pasukan yang digeruni di dalam saingan liga sosial.
Perkara ini turut membantu memberi peluang kepada para pemain muda untuk menimba pengalaman berharga dalam beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
“Kami ingin memberi peluang kepada pemain muda untuk berasa bermain liga, supaya mereka dapat merasai sistem pertukaran yang lebih canggih dan sama seperti yang sebenar.
Usaha Selangor perlu dipuji dalam menyediakan kelengkapan liga yang lengkap dalam memumpuk minat lebih ramai pemain.” kata Shaiful.
Selepas berjaya merangkul kejuaraan selaku juara Liga Divisyen 1 Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Kelana United kini sedang bersaing di dalam pusingan playoff bagi kejohanan Selangor Champions League.