Di Malaysia, acara final pun tiada orang datang, saya mahu jadikan tenis sukan besar di sini – Christian Didier Chin
Walaupun tenis merupakan antara sukan paling popular di dunia, ia masih kurang mendapat sambutan di Malaysia dan peluang untuk pergi jauh dalam sukan tersebut adalah amat sukar di negara ini.
Bagi pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Christian Didier Chin mempunyai impian untuk membuka jalan buat anak-anak muda lain yang berhasrat menjadikan tenis sebagai kerjaya mereka.
Beliau yang mesra disapa Chris mengakui bahawa masih ramai yang mempunyai tanggapan bahawa pemain tenis Malaysia tidak akan pergi jauh, tetapi beliau menganggap itu sebagai cabaran untuknya.
“Di Malaysia ini kalau perlawanan akhir pun tiada sambutan jadi saya harap satu hari nanti saya berjaya menjadikan ia sebagai sukan yang besar di negara ini.
Saya nak buat perbezaan dan tunjukkan pengorbanan saya kepada mereka yang anggap tidak boleh berjaya dengan bermain tenis di sini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelas pemain berusia 22 tahun itu, ketika ini matlamatnya adalah untuk menyertai mana-mana kejohanan Grand Slam seperti yang diimpikan oleh bapanya yang sering mendorongnya sejak kecil.
Fokusnya sekarang adalah untuk kembali ke Australia untuk bertemu pasukan kejurulatihannya selepas dua tahun terpisah akibat Covid-19.
Beliau menceritakan sebelum penglibatannya dalam bidang tenis, beliau terlebih dahulu bermain bola sepak.
“Dulu saya pernah main untuk pasukan B-11 Harimau Malaya dalam Piala Borneo, dan bapa saya lihat saya sentiasa dibentes jadi beliau mahu saya menceburkan diri dalam sukan individu, di mana saya hanya perlu fokus kepada diri sendiri.
Pada usia 13 tahun saya datang ke Kuala Lumpur untuk bermain di peringkat nasional dan sejak daripada itu saya teruskan karier sehingga ke peringkat profesional.”
Chris berkata, sejak daripada usianya 14 tahun, beliau sudah sering mengembara ke luar negara bersendirian seperti China dan Korea Selatan untuk berlatih tenis.
Beliau juga mengakui berasa bangga menjadi pemain Malaysia pertama yang bermain di Australian Open Junior pada 2018.
“Pada pusingan pertama saya sudah jumpa pemain junior nombor satu Australia jadi memang saya rasa tekanan dan apabila berada di kejohanan itu saya seperti berada dalam mimpi.
Saya masih ingat bapa saya kali pertama hadir menyaksikan saya ketika itu dan bilik persalinan saya dan Rafael Nadal hanyalah bersebelahan. Sejak daripada itu, keyakinan saya dalam sukan tenis semakin tinggi.”
Beliau juga memberi nasihat kepada anak muda yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam tenis supaya tidak terlalu memikirkan apa yang mampu diraih daripada sukan tersebut, tetapi apa manfaat yang ia mampu berikan kepada diri sendiri.