KL City FC dijangka tidak akan berdepan kesukaran menentang FC Sogdiana Jizzakh di perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC

5,695

Semalam peminat bola sepak tanah air bergembira apabila wakil Malaysia di saingan Piala AFC iaitu KL City FC telah mencipta sejarah apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC selepas menumpaskan ATK Mohun Bagan 3-1.

Disebalik berdepan pelbagai kesukaran dari segi logistik, lokasi dan beberapa isu lain, namun KL City berjaya mempamerkan aksi yang cukup menarik biarpun pihak lawan menguasai bola dengan 79% manakala KL City hanya 21%.


Percaturan ketua jurulatih Bojan Hodak yang menggunakan taktikal; ‘you can control the game but we will take 3 point’ menjadi kunci utama dalam kejayaan skuad The City Boys itu membenam gergasi dari India.

Kejayaan itu sekaligus membawa KL City ke perlawanan akhir Antara Zon yang akan menyaksikan mereka akan bertemu dengan pasukan dari Uzbekistan iaitu FC Sogdiana Jizzakh yang akan berlangsung pada 5 Oktober depan.

Susulan kemenangan bersejarah KL City turut menyumbang mata yang cukup penting untuk melonjakkan kedudukan kelab di Malaysia di tangga kelapan dengan mengumpul mata keseluruhan 49.722.

Mata penting itu juga menyaksikan Malaysia berjaya memintas UAE yang kini berada di kedudukan kesembilan.

Sumber foto: Footyrankings

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai lawan KL City di perlawanan akhir nanti iaitu Sogdiana, anak buah Hodak dijangka tidak akan berdepan masalah untuk mencipta kejayaan sekali lagi sekaligus meneruskan ‘magis’ mereka dalam saingan piala.

Sedikit latar belakang Sogdiana, mereka adalah sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan liga Uzbekistan Super League yang mana mereka kini berada di kedudukan keempat selepas 16 perlawanan.

Berdasarkan lima perlawanan terakhir kedua-dua pasukan, ia tampak seimbang sekaligus memperlihatkan peluang yang besar buat KL City untuk cuba meraih kemenangan walaupun turun sebagai pasukan ‘underdog’.

Sogdiana berjaya mara ke perlawanan akhir Antara Zon selepas berjaya menewaskan Eastern Long Lions (Hong Kong) dengan jaringan tipis 1-0.

Kelab dari Hong Kong itu boleh dikatakan setaraf dengan pasukan di Liga Malaysia dan berdasarkan hanya satu jaringan berjaya dijaringkan oleh Sogdiana memberi petanda bahawa KL City mempunyai peluang cerah untuk membuat kejutan.

Pada perlawanan semalam juga pemain KL City mempamerkan disiplin yang cukup tinggi terutamanya di barisan pertahanan dengan pemain seperti Paulo Josue, Romel Morales, Akram Mahinan, Kamal Azizi, Azri Ghani, Jordan Mintah antara pemain yang paling menyerlah sepanjang tempoh perlawanan.

Tidak dilupakan pemain seperti Zhafri Yahya, Fakrul Aiman dan pemain-pemain lain yang berjaya menterjemahkan taktikal Hodak dengan baik sekali sehingga menyebabkan pemain Mohun Bagan buntu untuk menjaringkan gol apabila setiap serangan mereka berjaya dipatahkan dengan cepat.

Selain pujian kepada pemain, pujian juga perlu diberikan kepada Hodak yang berjaya merencana taktikal dengan begitu baik sekali sehingga membuat ketua jurulatih pihak lawan berdepan kesukaran untuk cuba menyusun strategi terbaik.

Untuk perlawanan menentang Sogdiana, sudah pasti Hodak akan menyediakan satu taktikal ampuh untuk memastikan pasukan lawan berdepan kesukaran untuk menembusi pertahanan dan akan ‘terkejut’ dengan serangan balas pantas.

Ketika ini Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih belum mengumumkan venue perlawanan akhir Antara Zon lagi dan ramai berharap agar perlawanan itu dapat dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

KL City kini selangkah lagi untuk mencipta sejarah mereka tersendiri sekiranya berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFC sekaligus menjadi mereka mengharungi dua musim yang cukup gemilang selepas kejayaan merangkul trofi Piala Malaysia musim lalu.