Lebih kurang 60 bas penyokong bakal serbu SNBJ, ‘pertembungan awal’ final Piala FA dimenangi JDT!

1,391

Kehangatan perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC nampaknya semakin membara menjelang dua hari lagi sepak mula di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini.

Sebelum ini, tersebar beberapa gambar penyokong Terengganu FC dan JDT masing-masing sedang menyiapkan kain rentang menjelang perlawanan tersebut.


Bukan itu saja, bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Harimau Selatan, kelab penyokong pasukan itu dikatakan sudah menempah lebih kurang 60 bas untuk ke SNBJ.

Baru-baru ini juga, presiden kelab-kelab penyokong turut mengadakan perjumpaan dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Setakat ini, masih belum terdapat sebarang pengumuman daripada kelab penyokong Terengganu mengenai jumlah bas yang akan berkonvoi untuk ke perlawanan itu.

Melihat kepada persediaan rapi kelab penyokong JDT untuk ke perlawanan itu, mereka seolah-olah sudah ‘memenangi’ pertembungan awal menjelang aksi final tersebut.

Tetapi, semakan di laman tickethotline mendapati bahawa tiket untuk penyokong Terengganu sudah habis dijual, manakala tiket untuk penyokong JDT masih lagi ada.

Mungkin juga penyokong Terengganu sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk memeriahkan perlawanan tersebut dan hanya menunggu masa untuk ‘menyerang’ SNBJ.

Apa yang pasti, ratusan ribu penyokong kedua-dua pasukan dijangka akan memenuhi kawasan Bukit Jalil pada Sabtu ini bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.