Yakin satu Malaysia sokong Terengganu FC, usikan nakal Sanusi Md Nor tambah kehangatan ‘final’ Piala FA

541

Menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), ‘perang’ antara kedua-dua pasukan telah pun bermula terutama dalam kalangan penyokong.

Dari segi kain rentang, jumlah bas yang dibawa untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan lain-lain, ia menghangatkan lagi pertemuan antara kedua-dua pasukan itu.


Bukan sahaja penyokong kedua-dua pasukan itu, penyokong pasukan lain juga nampaknya turut teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga tidak ketinggalan menyatakan sokongan penuh kepada pasukan Terengganu untuk menjuarai Piala FA.

Menurutnya, ia disebabkan beliau sememangnya sentiasa menyokong pasukan ‘underdog’ dan kerana isterinya adalah daripada Terengganu.

Beliau juga amat yakin bahawa seluruh Malaysia akan memberikan sokongan kepada Terengganu untuk menewaskan Harimau Selatan.

Baru-baru ini, Sanusi juga dilihat menyarung jersi Terengganu dalam satu video yang dimuatnaik di akaun TikToknya dengan kapsyen: “Kasi panassss”.

Namun, sokongannya terhadap Terengganu sudah dijangka kerana beliau memang sentiasa ‘mengusik’ pasukan JDT dan pemiliknya iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Jadi ini mungkin adalah salah satu ‘usikan’ nakalnya terhadap TMJ dan JDT setelah sekian lama tidak berbuat demikian.

Musim ini, beliau juga pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan panas mengenai JDT, yang paling diingati adalah mengenai ‘tokong’.

Walaupun Kedah Darul Aman FC tidak layak untuk ke perlawanan akhir, tindakan yang dilakukan oleh Sanusi ini dilihat sedikit sebanyak menambah lagi kehangatan pertemuan itu.

Ia juga boleh menjadi satu perang psikologi awal antara pasukan Kedah dan JDT menjelang pertemuan pertama kedua-dua pasukan musim ini dalam Liga Super kurang sebulan saja lagi.