Jika tak bersama Terengganu FC lagi pada musim depan, harap dapat hadiahkan Piala FA buat pasukan – Faisal Halim

2,418

Jika menang Piala FA ia akan jadi hadiah saya buat Terengganu FC walaupun tidak lagi bersama

Pemain lincah Terengganu FC, Faisal Halim masih lagi mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan samada beliau akan kekal bersama pasukan sama atau akan berhijrah ke pasukan baru.


Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey berkata demikian apabila ditanya samada beliau akan kekal bersama Terengganu jika berjaya merangkul trofi Piala FA.

“Kalau Terengganu juara ia adalah saat paling gembira untuk diri saya sendiri. Sekira saya tidak lagi bersama Terengganu sekalipun, saya dapat hadiahkan satu piala untuk pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini ramai yang tertanya-tanya destinasinya selepas ini berikutan kontrak bersama skuad Sang Penyu akan tamat pada hujung musim ini.

Dalam pada itu, Mickey berkata kejayaan pasukan Terengganu untuk mara ke perlawanan akhir adalah sesuatu yang cukup menakjubkan berikutan laluan sukar yang perlu dihadapi oleh mereka.

“Ini pentas akhir dengan dua pasukan terbaik akan berentap, satu pasukan akan menjadi juara. Laluan kita sangat sukar untuk ke perlawanan akhir kerana kita berdepan dengan pasukan besar seperti Negeri Sembilan FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC.

Ia satu perjalanan yang luar biasa. Jika kita ditewaskan sekali pun ia tidak akan menjadi kekalahan yang mengecewakan.”

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa setiap pemain sudah pun bersedia untuk memberikan aksi terbaik untuk cuba merangkul kejuaraan Piala FA yang mana kali terakhir mereka berjaya melakukannya pada tahun 2011.

Pada masa sama beliau juga sudah membuat persiapan rapi berikutan berkemungkinan akan menjadi pemain sasaran barisan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya sudah buat persiapan mental dan fizikal. Jika saya ‘dirantai’, ia akan membuka peluang kepada rakan sepasukan.”

Perlawanan akhir Piala FA membabitkan Terengganu dan JDT akan berlangsung pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.