Manuel Ott simpati dengan nasib bekas rakan sepasukan di Melaka United FC

761

Pemain tengah Terengganu FC, Manuel Ott meluahkan rasa simpatinya terhadap bekas rakan sepasukan di Melaka United FC yang kini berdepan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan.

“Sudah pasti saya bersimpati dengan nasib mereka kerana ia bukan mudah untuk berada dalam situasi yang mereka hadapi ketika ini. Mereka ini adalah rakan saya dan masih berhubung dengan mereka.

Ia bukan mudah buat mereka, jadi saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Susulan isu tunggakan gaji tersebut, pihak Malaysian Football League (MFL) telah diberikan tempoh sehingga 20 September ini untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat.


Jika mereka gagal menyelesaikan hutang tersebut, Melaka United berkemungkinan besar tidak akan dibenarkan untuk bersaing dalam Piala Malaysia walaupun layak untuk bertanding dan perkara itu juga akan mengundang risiko lesen kelab 2023 terjejas.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Filipina itu berkata beliau dan rakan sepasukan kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini.

“Tidak dapat dinafikan pada awal musim kami bermula agak perlahan tetapi ketika ini kami berada pada tahap terbaik dan akan menjangkakan berdepan satu perlawanan sukar tetapi kami sudah bersedia.”

Sementara itu, beliau turut teruja mahu melihat sorakan padu penyokong Sang Penyu pada perlawanan akhir nanti dan menjangkakan atmosfera yang menakjubkan seperti yang berlaku pada perlawanan separuh akhir sebelum ini.

Terengganu akan menentang JDT dalam perlawanan yang akan berlangsung pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana ia merupakan peluang terbaik mereka untuk merangkul kejuaraan sekaligus layak ke saingan Piala AFC pada musim hadapan.