Kipre Tchetche harap final kedua bawa tuah buatnya dan Terengganu FC

664

Penyerang sensasi Terengganu FC, Kipre Tchetche berkata beliau dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini.

Kipre berharap perlawanan akhir keduanya kali ini akan membawa tuah buat dirinya dan juga skuad Sang Penyu.


“Kali pertama saya tidak beraksi dengan baik dan berharap untuk perlawanan akhir kedua ini akan membawa tuah buat saya dan pasukan.

Kami akan memberi aksi yang terbaik  dan cuba mengelak kesilapan sama lima tahun lalu untuk menang piala,”

katanya.

Selepas mempamerkan aksi kurang konsisten pada awal musim ini, pemain berusia 34 tahun ini kembali mendapat sentuhan berbisanya apabila berjaya menjaringkan hatrik baru-baru ini ketika menentang Melaka United FC dalam perlawanan Liga Super.

Tambahnya lagi, ketua jurulatih Nafuzi Zain sudah mempunyai percaturan yang ampuh untuk memastikan mereka akan memberi saingan sengit buat pihak lawan.

Terengganu akan menentang JDT pada perlawanan akhir Piala FA pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan menyaksikan lebih 80,000 peminat akan membanjiri stadium.

Ini merupakan peluang terbaik buat Terengganu kerana jika mereka berjaya merangkul kejuaraan, mereka akan layak bermain di pentas Piala AFC pada musim hadapan.