Nafuzi Zain mahu fokus pada final Piala FA terlebih dahulu sebelum fikir mengenai masa depannya bersama pasukan

636

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain memberitahu bahawa beliau masih belum memikirkan soal masa depannya bersama pasukan musim depan, sebaliknya mahu fokus pada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) terlebih dahulu.

“Itu masa depan saya itu saya belum fikir lagi kerana saya mahu fokus pada perlawanan akhir Piala FA terlebih dahulu.

Ini adalah peluang untuk Terengganu untuk layak ke pentas Piala AFC dan peminat juga teruja menunggu untuk kami beraksi di pentas Asia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada tahun 2019 ketika baru mengendalikan Terengganu, Nafuzi telah berjaya membawa pasukan itu ke Piala AFC, tetapi tidak dapat menyertainya berikutan negara dilanda pandemik COVID-19.


Oleh itu, pengendali berusia 43 tahun itu berkata ia adalah peluang terbaik untuk mereka layak sekali lagi ke Piala AFC untuk musim depan.

Dalam pada itu, Nafuzi memberitahu beliau tidak berasa tekanan langsung menjelang perlawanan akhir esok (Sabtu) kerana mereka sudah bersedia dan anak buahnya berada dalam keadaan terbaik.

“Tiada tekanan untuk kami kerana laluan kami ke perlawanan akhir sudah cukup mencabar apabila kami terpaksa berdepan pasukan besar seperti Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan PJ City FC, jadi tiada langsung tekanan buat kami walaupun tahu JDT adalah sebuah pasukan bagus.”

Tambahnya lagi, beliau akan menerapkan taktikal sama iaitu ‘Nafuziball’ dengan menggunakan kelebihan yang ada untuk bermain dengan intensiti tinggi.

Pada masa sama beliau juga berharap agar pemainnya tidak melakukan kesilapan mudah yang mungkin akan mengundang padah.

Sementara itu, beliau juga belum dapat mengesahkan samada penjaga gol utama mereka Rahadiazli Rahalim akan diturunkan atau tidak selepas mengambil kecederaan dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Perlawanan Terengganu menentang JDT pada esok 10 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.