KL diramal hujan hari ‘final’ Piala FA, apa tindakan PSM pastikan ‘insiden penyodok’ tidak berulang?

452

Menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC, pelbagai persiapan telah dilakukan oleh pihak penganjur bagi memastikan perlawanan itu berjalan lancar.

Namun terdapat kebimbangan dalam kalangan penyokong mengenai cuaca pada esok hari memandangkan kawasan ibu kota sering dilanda hujan lebat sejak beberapa minggu lalu.


Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di kawasan Kuala Lumpur pada 10 September 2022 diramalkan hujan.

Ramalan cuaca pada 10 September 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia.

Malah ketika artikel ini ditulis, hujan lebat sedang turun di kebanyakan tempat di Kuala Lumpur termasuklah Bukit Jalil.

‘Insiden penyodok’ yang berlaku pada kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu antara skuad kebangsaan dan Bahrain masih lagi segar dalam ingatan seluruh peminat bola sepak tempatan.

Ia bukan sahaja menyebabkan permainan kedua-dua pasukan terganggu pada malam itu, tetapi juga menyebabkan negara terpaksa menanggung malu kerana turut disaksikan oleh warga luar.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagaimanapun memberi jaminan bahawa perkara itu tidak lagi akan berlaku selepas ini.

Menurut laporan, PSM berkata pihaknya akan menggunakan alatan yang sesuai namun tidak memberitahu apakah alatan yang dimaksudkan.

Selain itu, rumput juga sudah berada dalam keadaan yang baik bagi menganjurkan perlawanan tersebut.

Justeru, sudah tentu para penyokong mempunyai harapan yang amat tinggi untuk menyaksikan perlawanan itu berjalan dengan lancar, lebih-lebih kemungkinan besar padang akan basah akibat hujan berdasarkan ramalan cuaca.

Pihak PSM juga harus ingat bahawa perlawanan esok berkemungkinan besar akan dihadiri oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyaksikan JDT beraksi.

Awal tahun ini, TMJ mengumumkan bahawa baginda menyerahkan sumbangan kira-kira RM1.4 juta untuk menukar rumput stadium kepada jenis Zeon Zoysia selain turut menaja mesin ‘vertidrain’ bagi memastikan  kualiti padang lebih terjamin pada masa akan datang.

Sekiranya insiden air bertakung masih berulang lagi esok, sudah tentu baginda akan hampa kerana telah mengeluarkan wang namun masih belum nampak ‘bayang-bayang’ rumput baharu akan ditukar dalam masa terdekat.