Jadi benarlah kata Sanusi, MB Terengganu juga akui ramai sokong Terengganu di final Piala FA

2,078

Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi baru-baru ini berkaitan sokongan orang ramai akan diberikan lebih kepada pasukan Terengganu FC sebagai calon juara Piala FA musim ini.

MB Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri turut tampil mengakui perkara tersebut dengan memberitahu bahawa rakan-rakan sejawatannya daripada negeri lain turut memilih Terengganu sebagai juara berbanding pesaingnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.


Nampaknya JDT perlu mengharapkan sokongan sepenuhnya daripada warga Johor sebagai pembakar semangat buat mereka di pentas akhir kelak.

Meskipun tidak mendapat sokongan ramai, JDT tetap memiliki kelebihan yang lebih besar berdasarkan pencapaian terdahulu.

Tambahan pula, JDT kini unggul di dalam saingan Liga Super tanpa sebarang kekalahan selepas 16 perlawanan.

Peminat JDT sudah semestinya mengharapkan pasukan kendalian Hector Bidoglio tersebut dapat membuktikan kemampuan sebenar untuk merangkul kejuaraan dan menutup mulut pengkritik.

Namun, aksi pemain JDT yang kurang konsisten selepas pertukaran jurulatih mungkin boleh dimanfaatkan oleh skuad Sang Penyu untuk melakukan kejutan di pentas akhir.

Dengan sokongan hampir 90% rakyat Malaysia, pasukan Terengganu perlu menggunakan perkara ini sebagai motivasi terbaik kepada mereka untuk beraksi cemerlang pada perlawanan esok (10 September).

Barisan pertahanan Terengganu perlu bersiap sedia dengan ancaman yang bakal diterima daripada penjaring terbanyak sepanjang buat pasukan Harimau Selatan, Bergson da Silva yang kini berada dalam momentum terbaik.

Bergson telah menjaringkan 29 gol secara keseluruhan di pertandingan seperti Liga Super, AFC Champions League (ACL) 2022 serta Piala FA.

Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain juga perlu menyiapkan para pemainnya untuk mengekang kemaraan pemain-pemain JDT yang lain seperti Arif Aiman, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez yang akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pasukannya.

Kelincahan pemain sayap Terengganu, Faisal Halim akan ditagih dalam memberi ancaman dan asakan kepada pertahanan JDT.

Kebolehan beliau mengawal bola dengan kemas sudah semestinya akan menimbulkan kesukaran kepada pemain-pemain JDT.

Gandingan beliau bersama penyerang, Tchethce Kipre dijangka akan mampu menguji kemampuan lawan.

Kipre baru sahaja berjaya mengumpul hatrik pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka United yang berakhir dengan kemenangan 5-0.

Selain Kipre, Nafuzi turut memiliki pilihan import yang ramai seperti Petrus Shitembi serta Kpah Sherman yang bakal memperkuat pasukan.

Kehadiran pemain-pemain berkualiti daripada kedua-dua pasukan ini bakal menjanjikan sebuah aksi yang menarik di perlawanan akhir ini.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi kepada pasukan mana yang akan mendominasi perlawanaan untuk bergelar juara Piala FA seterusnya.

Selamat maju jaya buat JDT dan TFC!