Lampu limpah SSMIV siap dipasang pengubat duka Kelantan FC gagal juarai Liga Perdana
Berbaki satu lagi perlawanan Liga Perdana, harapan Kelantan FC untuk bergelar juara dilihat sudah tertutup walaupun secara matematik ia masih tidak mustahil.
Selepas kekalahan menentang Selangor FC II minggu lalu, kelihatan riak kecewa di wajah pemain-pemain Kelantan kerana menyedari peluang mereka untuk menjadi juara sudah tertutup.
Namun, terdapat sinar di hujung terowong apabila pemasangan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) dijangka siap sebelum perlawanan terakhir liga menentang Kelantan United pada 30 September ini boleh mengukir sedikit senyuman.
Sebelum ini, para pemain terpaksa mengharungi baki perlawanan liga pada waktu petang gara-gara kerja-kerja pemasangan lampu limpah yang tertangguh.
Beberapa pemain juga telah mengakui bahawa bermain pada cuaca panas terik di waktu petang menyebabkan mereka penat dan memberi kesan terhadap prestasi mereka.
Jadi ini semestinya satu perkhabaran yang baik buat pasukan Kelantan menuju ke perlawanan akhir liga menentang βrivalβ mereka, Kelantan United pada 30 September ini.
Ini juga mampu memberi tonik tambahan buat pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Walaupun beraksi pada waktu petang, Kelantan masih mampu menarik ramai penyokong untuk hadir ke stadium.
Apabila mereka dibenarkan untuk beraksi pada waktu malam selepas ini, semestinya lebih ramai penyokong yang akan membanjiri stadium tersebut.
Walaupun tidak berjaya menjulang piala Liga Perdana, pemain harus melupakan segera kekecewaan tersebut dan fokus untuk menjadi antara pasukan terbaik pada musim depan.
Lebih-lebih lagi di bawah pengurusan Norizam Tukiman atau Zamsaham, kelab itu dilihat sedang berada di haluan yang betul.
Sudah tentu dengan masalah lampu limpah SSMIV yang sudah selesai serta pelbagai perancangan yang sedang dirancang oleh Zamsaham, Kelantan akan menjadi salah satu pasukan bahaya musim depan.