Pemain Melaka United berjuang sehingga ke wisel penamat, atasi Selangor untuk ke final

298

Pasukan bola sepak wanita Melaka United mengalahkan pasukan Selangor 1-0 dalam aksi separuh akhir Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) yang berlangsung sengit sepanjang 90 minit perlawanan.

Pemain sayap, Fatin Shahida gembira dengan kejayaan ini meskipun mereka melangkah ke kejohanan ini tanpa persediaan yang mencukupi.


Pasukan Melaka United bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama di peringkat kumpulan untuk kembali dengan aksi yang lebih menyakinkan.

“Persediaan Melaka United agak singkat, kita sendiri tidak menjangkakan untuk layak sejauh ini ke perlawanan akhir.

Kami lebih kepada 50-50, tetapi berbekalkan semangat yang ada pada pasukan saya kami berjaya ke final,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ekoran daripada rehat yang tidak mencukupi, Fatin dilihat tidak berada di dalam keadaan yang baik untuk menghabiskan perlawanan.

Namun, beliau tetap membuat keputusan untuk kekal berjuang bersama rakan-rakannya sehingga ke wisel penamat.

“Ikutkan saya sudah hendak keluar kerana kecederaan, tetapi saya kekal bertahan disebabkan melihat semangat rakan-rakan sehingga ke hujung perlawanan.

Saya ingin bermain habis-habisan, sakit sekalipun saya akan cuba bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.”

Perkara ini turut diperakui oleh ketua pasukan Melaka United, Steffi Sidhu yang melihat para pemain sudah mula menunjukkan tanda-tanda kepenatan selepas bersaing untuk hari keempat berturut-turut.

“Semua orang penat, saya sendiri penat sebab kalau kita lihat empat perlawanan berturut-turut tanpa henti.

Kita lihat jadual yang sangat padat, tapi saya beritahu mereka untuk tidak mengalah sehingga ke wisel penamat.” kata Steffi.

Walaubagaimanapun, semangat dan pengalaman yang dimiliki oleh pasukan ini nyata menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.

Melaka United mula mendominasi perlawanan sejak separuh masa pertama selepas berjaya mengekang pergerakan pemain-pemain Selangor.

Kesukaran ini menyebabkan pemain Selangor bergelut untuk mencipta gerakan merbahaya ke arah gawang Melaka United yang dikawal rapi oleh penjaga gol kebangsaan, Nurul Azurin.

“Saya tidak menjangkakan untuk menang, kerana pasukan Selangor adalah sebuah pasukan yang bagus.

Pendekatan bertahan yang digunakan oleh pasukan ini ternyata membuahkan hasil yang cukup positif untuk sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir.

Mereka berjaya mengucarkacirkan bahagian tengah pasukan lawan serta memanfaatkan perkara ini menerusi gol cantik dari sepakan percuma yang dijaringkan oleh Steffi pada separuh masa kedua.

“Bagi saya, semua pemain Selangor bagus, kami ada taktikal dan strategi untuk menghadapi mereka.

Bahagian tengah kami yang padat dan kuat, mereka berjaya buat tugas yang baik bagi mengekang pasukan Selangor.” tambah Steffi.

Pasukan Melaka United akan sekali lagi bertemu musuh utama mereka, Negeri Sembilan di perlawanan akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini (9 September) di Stadium Bola Sepak Cheras.