Pasukan wanita ada peluang lebih cerah ke Piala Dunia berbanding pasukan lelaki – Abdul Razak Salleh

215

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Selangor FC, Abdul Razak Salleh percaya bahawa pasukan wanita negara mempunyai peluang yang lebih cerah untuk ke Piala Dunia berbanding skuad lelaki.

Beliau berkata, sekiranya bola sepak wanita lebih diberi perhatian, tidak mustahil tahap bola sepak wanita di negara ini setaraf dengan negara jiran, Thailand.


“Kita mungkin dah terlalu lama beri tumpuan kepada bola sepak lelaki tetapi tiada hasil, jika kita lihat Thailand (pasukan wanita) mereka dah sampai Piala Dunia.

Jadi saya lihat kita boleh ikut contoh itu, jika kita ikhlas bangunkan bola sepak wanita memang boleh sangat capai,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berpendapat bahawa liga profesional untuk bola sepak wanita boleh diwujudkan di negara ini tetapi ia harus bermula di peringkat bawahan lagi.

Di Lembah Klang contohnya, beliau berkata, banyak kejohanan bola sepak wanita yang dianjurkan oleh pihak-pihak swasta berbanding pihak berwajib.

Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju sekiranya bola sepak wanita di negara ini dibenarkan untuk mengambil pemain import disebabkan tahapnkya yang masih amatur.

“Lebih baik kita tumpukan pembangunan pemain sendiri dahulu, kita di Selangor tiada seorang pun pemain import, semuanya anak didik saya dahulu.

Jika bola sepak wanita ini disusun rapi oleh persatuan bola sepak negeri dan semua pihak bekerjasama untuk bergerak dengan lebih maju, barulah kitab oleh wujudkan liga profesional.”

Beliau juga gembira bola sepak wanita kini sudah diberi perhatian oleh sesetengah pihak seperti Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mewujudkan liga mereka sendiri.

Beliau berharap usaha itu dicontohi lebih banyak pihak supaya bola sepak wanita di negara ini mampu berkembang.