Negeri Sembilan berjaya tebus kekecewaan di peringkat kumpulan, bakal bertemu seteru utama di perlawanan akhir

391

Penjaga gol pasukan wanita Negeri Sembilan, Ezza Ashikin menjadi watak utama dalam kejayaan pasukan tersebut menewaskan Sabah pada aksi separuh akhir Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) menerusi penentuan penalti yang berakhir dengan keputusan 3-1.

Kejayaan ini melayakkan mereka ke perlawanan akhir dan akan bertemu musuh mereka, Melaka United yang turut berjaya layak.


Ashikin beraksi cemerlang sepanjang perlawanan serta berjaya menepis dua sepakan penalti untuk membawa kemenangan kepada pasukan.

“Sebenarnya saya lebih suka penalti, sebab itu saya lebih yakin untuk menghadapinya.

Saya gembira kerana berjaya membuat terbaik untuk menebus semula kehampaan ketika bertemu Selangor untuk pasukan dan semua penyokong Negeri Sembilan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Prestasi cemerlangnya dilihat hasil daripada keyakinan yang berjaya ditunjukkan oleh beliau sepanjang perlawanan.

Ashikin tampak tenang menahan segala asakan yang sering kali dilakukan oleh pihak lawan sepanjang 90 minit permainan.

“Saya tidak terlalu berfikir tentang perlawanan sebelum bermula untuk mengelak daripada terlalu gementar.

Saya abaikan untuk terus yakin ke perlawanan ini.”

Walaupun diasak berkali-kali, pasukan Negeri Sembilan kekal ampuh menahan segala ancaman dengan cukup kemas.

Kekebalan di bahagian pertahanan menjadi kunci utama kemenangan pasukan ini selepas mengakhiri perlawanan waktu sebenar tanpa sebarang jaringan.

Perkara ini diperakui oleh penyerang utama pasukan, Henrietta Justine yang memuji aksi pertahanan pasukannya.

Mereka berjaya mengurangkan kesilapan untuk menyukarkan barisan serangan pasukan Sabah untuk menemui sebarang jaringan.

“Saya sangat-sangat gembira kerana perlawanan bertemu Sabah berlangsung sangat sengit sebab mereka banyak melakukan serangan.

Nasib baik pertahanan kami berjaya untuk segera menutup serangan demi serangan tersebut.” kata Henrietta.

Henrietta yang turun dengan reputasi sebagai penjaring terbanyak kejohanan turut gagal menemui jaringan selepas pasukan Sabah mengawal beliau dengan sangat rapi.

Kesukaran ini dihadapi oleh beliau sehingga ke penghujung perlawanan walaupun ada beberapa asakan merbahaya yang berjaya dilakukan ke arah gawang Sabah.

“Pada mulanya, saya memang berasa susah kerana jarang mendapatkan bola.

Pasukan Sabah menjaga saya dengan sangat ketat sepanjang perlawanan.”

Beliau akan terus berusaha untuk mempamerkan aksi terbaiknya pada perlawanan akhir selepas ini.

Henrietta yang setakat ini berjaya mengumpul tujuh gol sepanjang empat perlawanan akan terus diletakkan sebagai penyerang utama pasukan dalam usaha menewaskan pasukan Melaka United di final.

“Pada perlawanan akhir saya akan cuba menambah jumlah jaringan yang berjaya saya kumpul setakat ini.”

Perlawanan tadi kami banyak hilang bola, saya berharap lepas ini pemain kami dapat mengawal bola dengan lebih baik.”

Aksi final akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 11 September ini.