Arif Aiman belum puas walaupun bantu JDT julang trofi Piala FA

1,337

Pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman memberitahu beliau masih lagi belum berpuas hati dengan apa yang dikecapinya ketika ini walaupun baru sahaja berjaya bantu pasukannya menjulang trofi Piala FA malam tadi.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, JDT berjaya menumpaskan Terengganu FC 3-1 dengan Arif Aiman menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-34.


“Alhamdulillah pertama kali menang Piala FA dalam karier saya dan saya letak dalam diri saya tak akan pernah puas hati dalam setiap perlawanan sebab masa akan datang akan ada lebih banyak lagi perlawanan untuk saya buktikan yang saya boleh yang terbaik.

Saya hanya akan berpuas hati bila satu hari nanti saya dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa dan memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa bersama JDT,”

katanya.

Arif pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris kerana sentiasa memberi kata-kata semangat untuknya menjadi seorang pemain terbaik.

“Pada mula saya masuk skuad JDT saya tidak yakin dapat bermain dalam kesebelasan utama kerana ramai pemain yang berpengalaman dan berkualiti, tetapi saya sentiasa berpegang pada kata-kata TMJ yang memintanya untuk bermain dengan agresif.”

Dalam pada itu, pemain berusia 20 tahun itu mengakui persembahannya sedikit menurun beberapa perlawanan sebelum ini, namun beliau telah melihat semula kekurangannya dan memperbaikinya dalam perlawanan malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 84,000 penyokong, JDT bermula dengan garang apabila melakukan asakan bertali arus dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-34 menerusi jaringan Arif Aiman.

Terengganu mempunyai peluang terbaik menerusi penyerang mereka Tchetche Kipre apabila berhadapan situasi satu lawan satu tetapi gagal menjaringkan gol apabila diselamatkan oleh Farizal Marlias.

JDT kemudian melebarkan jurang pada minit ke-62 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bergson da Silva.

Kipre kemudian merapatkan jurang pada minit ke-75, namun ia tidak bertahan lama apabila Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menjaringkan gol dua minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan buat JDT.