Perbezaan kualiti jadi faktor utama kekalahan Terengganu FC

523

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui perbezaan kualiti yang ketara di antara pemainnya dengan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) jadi salah satu faktor mereka tumpas 3-1 dalam perlawanan akhir Piala FA malam tadi.

Menurut Nafuzi, setiap pemain lawan mempunyai pengalaman dan sering bermain di perlawanan akhir, sedangkan pemain Terengganu pula kurang pengalaman kerana dibarisi oleh ramai pemain muda.


“Kita kena faham situasi ini perlawanan akhir ini berbeza dengan situasi dalam saingan liga dari segi pemain-pemain terutamanya Terengganu yang dibarisi pemain muda manakala pemain JDT pula pemain yang berpengalaman dan sudah banyak kali beraksi di perlawanan akhir.

Dari situ kita dapat lihat perbezaan dari segi kualiti pemain Terengganu berbanding JDT tapi kita sudah beri yang terbaik dan saya akui memang kita berdepan kesukaran bermain dengan JDT dari segi tekanan yang diberikan kepada kami dan juga corak permainan intensiti tinggi mereka.

Tapi kami tetap cuba bermain namun mungkin sebab faktor tekanan, pengalaman dan kualiti menjadikan JDT lebih baik dari kita,”

katanya.

Nafuzi pada masa sama turut memohon maaf kepada semua penyokong Sang Penyu yang hadir dengan harapan Terenggan muncul juara.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di hadapan lebih 84,000 penyokong, JDT bermula dengan garang apabila melakukan asakan bertali arus dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-34 menerusi jaringan Arif Aiman.

Terengganu mempunyai peluang terbaik menerusi penyerang mereka Tchetche Kipre apabila berhadapan situasi satu lawan satu tetapi gagal menjaringkan gol apabila diselamatkan oleh Farizal Marlias.

JDT kemudian melebarkan jurang pada minit ke-62 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bergson da Silva.

Kipre kemudian merapatkan jurang pada minit ke-75, namun ia tidak bertahan lama apabila Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menjaringkan gol dua minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan buat JDT.

Dalam pada itu, pengendali berusia 43 tahun itu mengakui kesilapan penjaga gol muda Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan memberikan JDT peluang untuk menjaringkan gol dan ia tidak disia-siakan oleh penyerang berbisa Bergson da Silva.

“Ketika perlawanan 2-1 saya rasa kita mempunyai tenaga cukup untuk menyamakan kedudukan tetapi kita melepaskan gol ketiga cepat sangat. Kesilapan Rahadiazli kerana beliau tidak sepatutnya keluar tapi dengan pemain muda ini kita perlu jangka perkara seperti ini akan berlaku.

Saya tidak pernah menyesal membawa masuk Rahadiazli. Saya bukan jurulatih yang suka menutup ruang pemain muda kerana ini semua proses pembelajaran, jadi kalau kita tutup tak guna kita bagi peluang. Banyak lagi yang perlu mereka belajar termasuk saya.”

Selepas hanya berjaya menjadi naib juara Piala FA, Nafuzi kini akan memberi fokus pada saingan Liga Super yang mana beliau kini menyasarkan untuk berada pada kedudukan tiga teratas sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk beraksi di Piala AFC jika JDT menjadi juara Liga Super.