Forestieri pasang impian julang trofi dari awal, ingin dedikasikan kemenangan khas kepada MB Sanusi

619

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Fernando Forestieri telah memasang impian sekian lama untuk buktikan sesuatu di pentas akhir Piala FA selepas mereka berhadapan dengan pelbagai cemuhan dan provokasi menjelang perlawanan ini.

Gandingan beliau bersama seorang lagi penyerang, Bergson da Silva nyata berbisa dan berjaya menimbulkan kekacauan di bahagian pertahanan Terengganu FC.


Forestieri berjaya membuktikan tahap sebenar JDT selepas mereka dengan mudah menundukkan pasukan lawan dengan jaringan 3-1.

“Saya hormati semua orang, jika anda menyokong satu pasukan, anda hanya perlu kekal dengan menyokong pasukan tersebut.

Kamu tidak perlu mengajak semua orang menyokong Terengganu kerana anda menyokongnya, ini sedikit menyakitkan hati saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, beliau tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang telah berhempas pulas selama ini untuk membangunkan pasukan.

Hasil usaha baginda, JDT dilihat telah berjaya mencapai kejayaan demi kejayaan di peringkat tertinggi untuk meletakkan mereka di tahap yang berbeza.

“Saya masuk ke dalam dengan harapan untuk menang buat Sanusi dan terutama sekali untuk TMJ yang banyak memberikan sokongan.”

Kemenangan pada malam ini sedikit sebanyak mengubati kekecewaan pasukan yang kecundang di pusingan 16 terbaik dalam saingan AFC Champions League (ACL) tahun ini.

“Ini adalah istimewa untuk kami dan baginda kerana kami mempunyai kesukaran di AFC Champions League.

Tetapi, baginda tetap menyokong kami di saat sukar tersebut, jadi kemenangan ini adalah khas untuk beliau.”

Namun, beliau mengakui kehebatan yang ditunjukkan oleh pasukan lawan walaupun tewas mudah di tangan JDT.

Penyerang Terengganu FC, Tchetche Kipre hampir membangkitkan semangat pasukannya untuk kembali bersaing selepas berjaya menjaringkan satu gol pada babak kedua.

Namun, jaringan tersebut tidak mencukupi untuk mereka sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan.

“Saya sangat gembira kerana kami berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik pada malam ini.

Ia adalah perlawanaan yang sukar kerana kita tahu Terengganu bermain dengan baik tetapi saya rasa kami berikan 200% untuk menang pada malam ini.”

Forestieri yang baru menyertai JDT pada awal musim ini telah menjadi nadi utama pasukan untuk memperoleh dua trofi setakat ini.

Aksi memukau beliau bakal terus ditagih bagi membolehkan mereka menjulang dua lagi kejuaraan selepas ini, Liga Super serta Piala Malaysia.

“Saya gembira kerana ini adalah trofi kedua untuk kelab ini, saya sangat gembira untuk membuat sejarah selepas ini bersama JDT.

Ini adalah sangat penting, setiap kejohanan adalah penting untuk saya memberikan aksi yang terbaik.”