Oswyn Lim mahu jadi inspirasi buat pemain PJ City FC lain selepas terpilih wakili skuad B-19 negara

933

Pemain pertahanan B-19 negara, Oswyn Lim berharap kejayaannya mendapat panggilan ke skuad kebangsaan untuk kelayakan Piala Asia B-20 mampu menjadi inspirasi buat pemain PJ City FC lain.

Beliau mengakui pemain dari kelab itu jarang mendapat panggilan kebangsaan dan beliau mahu membuktikan bahawa pemain tempatan turut mempunyai kualiti yang baik.


“Saya berasa amat bangga dapat peluang untuk mewakili negara kerana ini adalah impian sejak saya mula bermain bola.

Memang saya rasa tekanan mewakili negara itu tetapi saya hanya mahu nikmati pengalaman ini, saya mahu membantu keluarga jadi saya harus terima segala tekanan yang datang,”

katanya.

Beliau mengakui sukar menyesuaikan diri bersama pasukan pada awalnya, namun mula menunjukkan keserasian selepas beberapa sesi latihan.

Menurutnya, beliau bersedia untuk memberi saingan di posisi pertahanan tengah yang mempunyai ramai pemain berbakat lain.

“Saya akui saingan memang sengit di posisi pertahanan tengah, tetapi bagi saya ia adalah baik kerana ia dapat meningkatkan prestasi semua pemain.”

Dalam pada itu, beliau percaya tidak mustahil skuad negara mampu membawa pulang sembilan mata penuh pada kejohanan itu walaupun berdepan cabaran Korea Selatan.

Menurutnya, semua pemain akan memberikan segala yang termampu untuk layak ke Piala Asia B-20 tahun depan.