JDT akan menang lebih banyak lagi piala selepas ini – Aysar Hadi

3,224

Kapten skuad B-19 kebangsaan, Ahmad Aysar Hadi percaya JDT akan terus menambah lebih banyak koleksi piala selepas ini kerana mentaliti juara yang diterapkan oleh kelab itu dalam diri setiap pemain.

Menurutnya, kejayaan JDT memenangi Piala FA semalam adalah satu titik perubahan dan pasukan mempunyai matlamat untuk pergi lebih jauh setiap musim.


“Dalam setiap skuad JDT daripada skuad utama sehinggalah JDT IV falsafah dan mentaliti kemenangan yang diterapkan tetap sama.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga sentiasa beri sokongan dan menekan semua pemain untuk mencapai kejayaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, baginda akan memberikan kata-kata semangat setiap kali sebelum perlawanan dan beliau amat menghargai sokongan yang diberikan oleh baginda.

Beliau juga percaya, JDT mampu untuk melangkah lebih jauh pada saingan AFC Champions League (ACL) selepas ini dengan kerja keras semua pihak dalam kelab.

“JDT adalah sebuah kelab yang mempunyai visi dan matlamat untuk pergi lebih jauh dengan kerja keras semua orang terutama TMJ yang sentiasa berikan sokongan kepada kami.”

Dalam pada itu, beliau bertekad mahu memberikan yang terbaik pada pusingan kelayakan Piala Asia B-20 untuk layak ke kejohanan itu tahun depan.

Menurutnya, segala persiapan berada dalam keadaan yang baik dan para pemain sudah bersedia untuk menghadapi saingan tersebut.