Kerja keras pengurusan dan pemain PIB terbalas, layak ke perlawanan akhir Liga M3 dengan kudrat pemain muda
Pasukan PIB berjaya menewaskan Imigresen FC (IFC) dengan agregat 3-1 di pusingan separuh akhir untuk menempah slot ke aksi final Liga M3 tahun ini.
Pada aksi perlawanan separuh akhir kedua, para pemain PIB berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi sejak wisel pertama dibunyikan.
Ketua jurulatih, K. Ramachandran memuji aksi pemain-pemainnya yang tidak mengenal erti putus asa untuk mengekalkan kelebihan yang dimliki oleh mereka.
“Saya berterima kasih kepada pengurusan dan pemain kerana mereka bekerja kuat untuk kita layak ke final.
Pemain berjaya mengikut kesemua strategi yang telah saya aturkan, mereka telah berikan aksi yang terbaik pada malam ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Perkara ini membantu mereka untuk segera mendahului perlawanan menerusi jaringan gol pada separuh masa pertama yang kekal sehingga ke penghujung perlawanan.
Perlawanan ini dicemari oleh beberapa insiden panas menuju ke penghujung babak pertama, namun tiada sebarang kad merah dilayangkan oleh pengadil yang berjaya mengawal keadaan.
“Saya hanya berpesan kepada pemain untuk tidak terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan.
Kalau mereka tertekan, bagaimana mereka hendak menang perlawanan ini untuk layak perlawanan akhir.”
Kejayaan ini memberi kegembiraan kepada semua peminat pasukan PIB yang telah hadir untuk membanjiri perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Hang Jebat.
Tambahan pula, kejayaan layak ke perlawanan akhir ini sedikit sebanyak mengubati kekecewaan mereka untuk mendominasi saingan kumpulan sebelum ini.
Ketua pasukan, Ali Imran Alimi berbangga dengan pencapaian serta prestasi yang ditunjukkan oleh beliau dan rakan sepasukan untuk kembali cemerlang di peringkat kalah mati.
“Tiada perkataan yang mengungkap perasaan saya untuk layak ke peringkat akhir pada edisi kali ini walaupun di pusingan liga prestasi kita agak yo-yo.
Kredit kepada pemain-pemain lain yang telah bekerja keras untuk mengatasi percubaan daripada pihak lawan di separuh masa kedua.” kata Ali Imran.
Mereka dijadual bertemu dengan KL Rovers di perlawanan akhir Liga M3 yang bakal berlangsung pada 24 September ini.
“Sudah tentu kita hendak mengangkat piala selepas layak ke perlawanan akhir, tetapi ini adalah bola sepak dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku.
Saya harap pemain lain tidak leka dengan kemenangan ini untuk bersedia dari segi fizikal dan mental untuk bersedia ke perlawanan akhir nanti.”
PIB dibarisi oleh kebanyakan pemain muda berjaya menunjukkan aksi yang cukup menyakinkan, pengalaman beberapa pemain yang pernah beraksi di Liga Super berjaya membawa pasukan ini untuk pergi lebih jauh.
Pemain PIB, Shukri Azman yang pernah beraksi bersama pasukan Selangor FC cukup gembira dengan suasana dan keadaan semasa di dalam pasukan PIB.
Rentak kecemerlangan ini akan terus ditagih pada aksi final bagi membolehkan mereka memperoleh penamat gembira untuk menutup saingan Liga M3 musim ini.
“Walaupun saya berumur 25 dan ada lagi pemain yang lebih berumur, tetapi mereka masih boleh mendengar sebarang nasihat sebagai sebuah pasukan, ini yang menjadikan pasukan ini lebih baik.” kata Shukri kepada Harimau Malaya.