Imigresen FC akur tewas di tangan PIB FC, bukan masa untuk tunding jari kepada mana-mana pemain

502

Imigresen FC (IFC) gagal meneruskan rentak kecemerlangan mereka selepas terkandas di pusingan separuh akhir Liga M3.

Mereka tewas dengan agregat 3-1 kepada pasukan PIB FC susulan aksi separuh akhir kedua yang berakhir dengan keputusan 1-0.


Penjaring terbanyak liga, Firdaus Azizul pasrah menerima kekalahan ini dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

“Kami dah kalah jadi perkara itu biar jurulatih yang memberi komen, sudah tiada masa untuk menunding jari kepada sesiapa.

Kita kena terima yang kita kalah pada hari ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

IFC dilihat sedikit terumbang ambing dari awal perlawanan bermula sebelum berjaya menampilkan kebangkitan menuju ke penghujung babak kedua.

Meskipun memiliki pemain yang lebih berpengalaman, IFC gagal memanfaatkan kelebihan tersebut untuk membiarkan pasukan lawan lebih mendominasi perlawanan.

Firdaus berdepan dengan kesukaran mencari ruang selepas beliau dijaga rapi oleh barisan pertahanan PIB FC.

“Kita kena akui kehebatan pasukan PIB FC dengan pemain muda yang memberi sepenuhnya pada perlawanan ini.

Mungkin Imigresen FC kurang dari segi usaha untuk mencari gol.”

Meskipun masih mendominasi senarai penjaring terbanyak Liga M3 musim ini, Firdaus sedikit terkilan tidak berjaya membantu pasukannya untuk layak ke final bagi menghadiahkan penutup gembira musim ini.

“Kalau masuk final, ia adalah lebih bermakna untuk saya daripada mengejar sesuatu untuk saya sendiri semata-mata.

Saya lebih gembira kalau semua dapat, tapi sampai sini sahaja rezeki kami jadi kami perlu perbaiki pada masa hadapan.”

Walau bagaimanapun, kehadiran pemain yang pernah beraksi di Liga Super seperti Fauzi Majid dan Halim Zainal sedikit sebanyak membantu pemain muda untuk menyesuaikan diri.

Perkara ini diperakui oleh penjaga gol IFC, Hanif Faizal yang beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya yang telah dihasilkan oleh pihak lawan.

Pemain berusia 19 tahun itu berjaya menimba ilmu menerusi pemain-pemain berpengalaman ini untuk memperbaiki aksinya di atas padang.

“Saya rasa mudah bekerjasama dengan pemain yang lebih berusia kerana mereka lebih berpengalaman.

Mudah untuk saya matangkan permainan saya dan mereka juga banyak membantu.” kata pemain muda tersebut.

Tetapi, ada juga pendapat yang melihat kehadiran pemain-pemain senior ini bakal menutup peluang kepada pemain muda untuk menonjolkan bakat mereka.

Hal ini dipersetujui oleh ketua jurulatih IFC, Mat Zan Mat Aris yang mencadangkan agar syarat yang lebih ketat dikenakan oleh pihak Amateur Football League (AFL) selepas ini kepada pemain-pemain yang didaftarkan oleh setiap pasukan.

“Had umur sepatutnya menjadi syarat untuk Liga M3, ramai pemain yang sudah di penghujung karier bermain.

Kita hendak memberi peluang kepada pemain muda untuk menonjolkan diri dan memberi yang terbaik.” kata Mat Zan.

Pada masa yang sama, Mat Zan tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya meskipun gagal mara ke perlawanan akhir.

Kejayaan layak ke peringkat separuh akhir ini boleh dianggap sebagai pencapaian luar biasa buat pasukan ini yang bermula sedikit perlahan di awal musim.

“Sasaran IFC pada mulanya adalah untuk layak ke suku akhir dan kita mara sehingga ke separuh akhir.

Ini adalah sebuah pencapaian kepada pasukan, secara keseluruhan aksi mereka boleh diberi pujian dan ada peningkatan.” tambah Mat Zan.