Kelantan FC bergabung dengan Kelantan United FC adalah satu cadangan positif
Semua sedia maklum pasukan Kelantan FC sudah kembali bangkit dari zaman ‘gelap’ selepas diambil alih oleh ahli perniagaan Norizam Tukiman dan kini mereka merupakan pencabar utama di saingan Liga Perdana.
Kelantan bukan sahaja memperlihatkan prestasi cemerlang di atas padang sahaja, tetapi juga di luar padang apabila pasukan itu sudah pun mula menuai keuntungan selepas mereka dapat menggunakan stadium keramat iaitu Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Dengan penstrukturan Liga Malaysia pada musim depan oleh Malaysian Football League (MFL), Kelantan boleh dikatakan sudah pun mengesahkan tempat mereka di saingan Liga Super pada musim depan.
Tidak mustahil pada musim depan kita akan menyaksikan sebuah lagi pasukan dari Kelantan iaitu Kelantan United FC (KUFC) akan turut beraksi dalam saingan Liga Super memandangkan mereka kini berada dalam kedudukan kelima sekaligus mempunyai peluang cerah untuk naik liga.
Bagaimanapun baru-baru ini, Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham dalam satu kenyataan kepada sebuah portal telah menyuarakan keterbukaannya untuk rundingan jika pihak KUFC ingin bekerjasama.
Ia adalah satu cadangan yang cukup baik memandangkan kedua-dua pasukan itu berasal dari Kelantan, tambahan Zamsaham turut berkata KUFC bergantung dana daripada kerajaan negeri.
Kenyataan bergantung kepada dana kerajaan negeri itu telah dinafikan oleh Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Zul Ikman yang berkata pasukan itu hanya bergantung kepada kemudahan fasiliti sahaja daripada kerajaan negeri.
Jika KUFC tidak ingin bergabung, mereka berkemungkinan besar akan berdepan masalah kekangan kewangan pada musim hadapan kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM8-10 juta untuk mengharungi saingan Liga Malaysia pada musim depan.
Namun jika mereka bergabung, ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pasukan kerana Zamsaham akan menjadi pemegang saham utama dengan dibantu barisan pengurusan tertinggi KUFC.
Dengan visi Zamsaham, tidak mustahil jika kedua-dua pasukan Kelantan dan Kelantan United bergabung, mereka berkemungkinan akan menjadi pasukan gergasi Pantai Timur yang mampu menjadi pencabar utama Liga Super.
Peminat bola sepak di negeri itu sudah pasti akan menyokong penuh jika kedua-dua pasukan itu bergabung kerana realitinya KUFC tidak mempunyai peminat yang ramai dan jika tiada jumlah peminat ramai bagaimana mereka ingin menjana pendapatan pasukan.
Jadi cadangan untuk gabungkan kedua-dua pasukan ini tidak akan mendatangkan mudarat sebaliknya ia akan membuatkan peminat lebih senang kerana mereka akan menyokong satu pasukan sahaja iaitu Kelantan FC.
Apa-apa pun keputusan untuk kedua-dua pasukan bergabung berkemungkinan hanya akan berlaku selepas tamat saingan Liga Perdana pada musim ini.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan penutup tirai liga yang akan berlangsung pada 30 September ini.