JDT boleh julang trofi Liga Super 1 Oktober ini di SSI, bertandang ke Kedah dengan status juara

1,538

Selepas menjuarai Piala FA Sabtu lalu, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh berehat lama kerana bakal turun pada aksi Liga Super menentang PJ City FC Khamis ini.

Ini merupakan perlawanan penting buat JDT bagi terus melebarkan cengkaman di puncak liga meninggalkan pencabar terdekat, Sabah FC dan juga mengesahkan kejuaraan liga dengan lebih awal.


JDT kini mengumpul 42 mata, enam mata di hadapan Sabah namun kekurangan dua perlawanan.

Berbaki enam perlawanan lagi, JDT boleh mendakap trofi Liga Super sekiranya menang pada perlawanan menentang Negeri Sembilan 1 Oktober ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Pada hari yang sama, Sabah bakal turun menentang Terengganu FC dan sekiranya mereka keciciran mata, peluang untuk mengejar JDT akan tertutup.

Selepas perlawanan menentang PJ City Khamis ini, liga akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada aksi persahabatan antarabangsa.

JDT dijangka tidak mempunyai masalah untuk menundukkan PJ City, dan jika ia berlaku, pemain akan lebih bersemangat menuju ke perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan kerana mengetahui mereka mampu menjulang trofi di hadapan penyokong setia mereka.

Justeru, pengurusan pasukan boleh bersiap-siap dengan lebih awal sebelum perlawanan menentang Negeri Sembilan, termasuklah membeli bunga api bagi meraikan kejayaan menjulang trofi itu buat kali kesembilan berturut-turut.

Tambahan pula, mereka akan bertandang ke Stadium Darul Aman selepas itu untuk bertemu Kedah Darul Aman FC, sekiranya mereka turun dengan status juara pada perlawanan itu, sudah tentu ia bakal menjadi tamparan buat Sang Kenari.

Ini kerana, kedua-dua pasukan merupakan ‘musuh ketat’ dalam dan luar padang, terutamanya disebabkan oleh tindakan presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang sering ‘mengusik’ JDT.

Dengan kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini, trofi Liga Super akan menjadi trofi ketiga yang dimenangi JDT dan mereka boleh mencatat sejarah sebagai satu-satunya pasukan yang memenangi kesemua trofi domestik sekiranya berjaya menjuarai Piala Malaysia hujung tahun ini.

Ia juga bakal menjadi satu cabaran buat kelab itu untuk mempertahankan keempat-empat trofi itu tahun hadapan, ditambah dengan saingan liga yang semakin sengit dengan penstuksturan semula liga.

Selain itu, JDT sudah tentu mahu mara lebih jauh pada saingan AFC Champions League (ACL) selepas terkandas di peringkat 16 terakhir musim ini.

Penyokong JDT sudah tentu sudah tidak sabar menunggu tarikh 1 Oktober untuk melihat pasukan kesayangan mereka menjulang trofi di stadium keramat mereka.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen