Ketika Luqman Hakim mahu kekal di Eropah, Kristof D’Haene pula berminat main di Liga Malaysia

8,461

Ketika pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin berhijrah ke Belgium untuk bermain bersama kelab K.V. Kortrijk, ramai peminat bola sepak tanah air bangga dengan pemain muda itu yang sanggup berhijrah ke luar negara demi melebarkan karier bola sepaknya.

Namun selepas dua tahun bersama kelab itu, Luqman masih lagi gagal mendapat tempat dalam skuad utama pasukan itu, sebaliknya kini bermain untuk skuad B-21 ketika ini.


Pada pra musim baru-baru ini, beliau telah diberi peluang untuk turun bersama skuad senior ketika menentang Royal FC Mandel United yang menyaksikan beliau berjaya menjaringkan gol sekaligus membantu pasukannya menang 2-1.

Namun apabila saingan liga bermula, beliau disenaraikan dalam skuad B-21 yang beraksi di Jupiler Pro League B-21 mana beliau diturunkan dan beraksi selama 90 minit ketika menentang Waasland Beveren baru-baru ini.

Bagaimanapun berbeza pula dengan kapten pasukan skuad senior Kortrijk iaitu Kristof D’Haene yang telah menyuarakan minatnya untuk beraksi di Liga Malaysia atau Liga Thailand satu hari nanti jika ada tawaran.

Perkara itu dikongsi oleh satu akaun Twitter sukan namun tiada butiran lanjut mengenai perkara ini, dan carian mengenai berita ini juga gagal dijumpai, oleh itu tidak dapat mengesahkan kesasihan berita tersebut.

Tambahan pulan D’Haene masih lagi mempunyai kontrak sehinggan Jun 2024 dan apabila kontraknya tamat, beliau sudah pun berusia 34 tahun sekaligus tidak sesuai untuk dijadikan sebagai pemain import di Liga Malaysia kerana sudah dilabel sebagai ‘kuda tua’.

Bagaimanapun berbeza pula dengan Luqman yang masih lagi muda dan mempunyai banyak masa lagi untuk mempamerkan aksi terbaiknya.

Ramai yang berharap pemain berasal dari Kelantan itu berhijrah ke pasukan lain yang menjamin minit permainan bersama skuad utama.

Malah pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman juga terbuka dan bersedia untuk menerima pemain itu dalam pasukannya, selain menjanjikan pemain itu minit permainan yang banyak jika beliau kembali ke Liga Malaysia.

Tambahan pula, Kelantan pada musim depan akan beraksi di Liga Super, oleh itu khidmat Luqman sangat diperlukan kerana Norizam mahu utamakan anak jati negeri itu.

Kontrak Luqman bersama Kortrijk masih berbaki tiga tahun, namun beliau boleh berhijrah ke pasukan lain secara pinjaman.

Banyak kelab yang boleh dijadikan pilihan seperti J League, K League mahu pun Thai League. Jika beliau mahu kekal di Eropah, mungkin beliau boleh berhijrah ke liga lain yang mampu memberikannya minit permainan.

Menjalani latihan dengan bermain dalam perlawanan sebenar adalah dua perkara berbeza yang mampu memberi impak besar kepada karier seseorang pemain bola sepak.

Luqman mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain prolifik, namun beliau perlu pastikan percaturan kariernya berjalan dengan lancar supaya ia tidak merugikan diri sendiri pada masa hadapan.