Sampai bila terus harapkan pertolongan TMJ? PSM dan KBS harus berdikari uruskan SNBJ

1,475

Perlawanan akhir Piala FA yang antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC baru-baru ini berlangsung dengan lancar walaupun terdapat kebimbabangan mengenai keadaan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Sebelum perlawanan tersebut, padang di SNBJ telah ditutup dengan kain kanvas yang telah dipinjamkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjaga rumput.


Mujurlah perlawanan pada malam itu tidak berlangsung dalam cuaca hujan, jika tidak mungkin ia akan mengganggu permainan kedua-dua pasukan.

Mengulas mengenai penggunaan kanvas sebelum perlawanan itu berlangsung, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana ia melibatkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan juga Malaysian Football League (MFL).

Beliau juga berkata terpaksa membuka SNBJ apabila terdapat permintaan, menyebabkan proses penyelenggaraan dan penambahbaikan di stadium tersebut terpaksa ditangguhkan.

Sebagai seorang menteri yang mempunyai kuasa, beliau haruslah bertegas dalam hal ini dan berbincang dengan semua pihak yang terlibat, terutamanya pihak PSM.

Sampai bilakah mahu terus mengharapkan ihsan daripada TMJ sahaja untuk menjaga padang tersebut seperti meminjamkan kain kanvas dan menyumbang dana untuk menukar rumput.

Ketika TMJ mengumumkan sumbangan bagi menukar rumput SNBJ, Ahmad Faizal memberi jaminan bahawa kementeriannya akan memastikan padang stadium itu dijaga dengan baik.

Jadi beliau haruslah berpegang kepada janjinya dan tidak lepas tangan begitu sahaja kepada pihak lain untuk menguruskan perkara itu.

Lebih-lebih lagi, ramai penyokong bola sepak tempatan yang mengharapkan bahawa SNBJ dapat digunakan bagi kejohanan Piala AFF hujung tahun ini.

Kerja-kerja penambahbaikan di SNBJ tidak akan dapat dilakukan sekurang-kurangnya sehingga suku kedua tahun hadapan.

Jadi, sementara menunggu tempoh tersebut, pihak KBS dan PSM haruslah melakukan sesuatu bagi memastikan padang di SNBJ berada dalam keadaan yang baik untuk perlawanan-perlawanan akan datang seperti perlawanan akhir Piala Malaysia dan kejohanan AFF.

Mungkin sudah tiba masanya pihak PSM membeli kain kanvas sendiri untuk menjaga padang tersebut berbanding terus menagih pertolongan TMJ.