Jika isu gaji tidak selesai juga, pemain perlu ambil tindakan drastik lapor kepada FIFA

654

Masalah tunggakan gaji dan Liga Malaysia berpisah tiada! Sejak dari awal musim lagi isu tunggakan sering dibangkitkan dan sehingga kini ia masih lagi berlaku dengan terbaru Sarawak United FC dan Melaka United FC berdepan masalah sama.

Isu tunggakan gaji pemain bola sepak kedua-dua didedahkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mendesak pengurusan kedua-dua pasukan itu segera melunaskan tunggakan gaji pemain.


Malah pihak penganjur liga iaitu Malaysian Football League (MFL) turut mengeluarkan notis kepada Sarawak United dan Melaka United untuk menyelesaikan segala hutang sebelum 20 September ini atau tindakan akan dikenakan kepada mereka.

Antara tindakan yang akan diambil adalah melucutkan slot mereka dalam saingan Piala Malaysia.

Sarawak United baru-baru ini telah mengumumkan di media sosial rasmi mereka bahawa mereka sudah pun melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang tertunggak selama empat bulan.

Kenyataan daripada Presiden Sarawak United, Dato’ Posa Haji Majais itu bagaimanapun mendapat reaksi pemain pertahanan The Golden Hornbill iaitu Raja Imran Shah di Instagram miliknya mendedahkan tunggakan gaji masih belum selesai sepenuhnya.

Apa yang berlaku kepada pemain Sarawak United dan Melaka United adalah sesuatu yang amat mendukacita kerana pemain ini terpaksa berdepan situasi yang cukup sukar kerana masing-masing mempunyai komitmen dan keluarga yang perlu disara.

Walaupun isu tunggakan gaji ini boleh dilabelkan sebagai isu ‘normal’ dek saban tahun berlaku dengan tiada tindakan pantas dan tegas diambil, ia nyata memberi impak kepada pemain yang terlibat.

Oleh itu, kepada pemain yang berdepan situasi tersebut dan masih menunggu janji-janji manis pasukan, mereka perlu mengambil tindakan drastik dengan melaporkan perkara itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai jalan terakhir.

Pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji telah melanggar Artikel 13 Peraturan Status Dan Pemindahan Pemain FIFA di mana majikan tidak menghormati kontrak pemain.

Sumber: Raja Imran Shah IG

Pemain yang terjejas mempunyai hak untuk melakukan pembatalan kontrak sebelah pihak akibat tidak menerima gaji melebihi dua bulan dengan meninggalkan pasukan sambil menuntut pembayaran penuh pada baki kontrak.

Isu ini pernah berlaku kepada Perlis sebelum ini yang mana mereka sehingga kini digantung oleh FIFA dari menyertai sebarang kejohanan selagi mereka tidak melangsaikan hutang tersebut.

Malah satu lagi kes membabitkan bekas pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus turut menyaksikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan untuk membayar tunggakan dan baki kontrak walaupun pemain itu beraksi dalam beberapa perlawanan sahaja.

Banyak lagi kes yang boleh dijadikan contoh oleh pemain-pemain yang terlibat untuk mereka tuntut keadilan jika mereka berdepan yang sama berulang kali.

Dengan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan, dijangka isu tunggakan gaji akan terus menghantui berikutan bajet setiap pasukan akan meningkat naik.

Diharap setiap pasukan dapat melakukan bajet dengan bijak sebelum musim bermula dan berbelanja mengikut kemampuan supaya masalah tunggakan gaji timbul ketika saingan liga berlangsung.