Harimau Muda sering dianaktirikan, persiapan minit akhir punca aksi kurang memberangsangkan
Skuad B-16 negara akan berangkat ke Indonesia pada Oktober ini bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2023 dijadual bermula pada 1 Oktober.
Berada dalam Kumpulan B, skuad muda negara bakal berhadapan dengan laluan getir selepas diundi bersama Indonesia, Palestine, Emiriah Arab Saudi dan Guam.
Berbaki kurang sebulan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga kini masih belum mengumumkan senarai pemain yang bakal dibawa ke pusingan tersebut.
Ini sedikit menggusarkan para peminat bola sepak negara tatkala tempoh persiapan yang cukup singkat untuk ketua jurulatih, Osmera Omaro menyediakan anak buahnya sebelum bergerak ke Indonesia.
Tambahan pula, aksi skuad ini pada kejohanan Piala AFF B-16 sebelum ini tidak memberansangkan dan kurang menyakinkan.
Mereka terkandas di pusingan kumpulan selepas gagal mengumpul mata penting pada beberapa perlawanan perlawanan penting.
Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pemain skuad B-16 telah bermain bersama untuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) namun tempoh latihan yang pendek menyukarkan mereka membina persefahaman bersama pemain dari pasukan lain seperti Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara inilah yang menyebabkan kegagalan pasukan muda negara untuk melangkah lebih jauh dalam mana-mana kejohanan baik di peringkat Asia Tenggara mahupun Asia.
Tetapi, perkara ini adalah tidak asing dan sering berlaku kepada pasukan Harimau Muda negara baik B-16 ataupun B-19 setelah sekian lama.
Skuad muda boleh dianggap dianaktirikan dan FAM lebih memberi fokus kepada pasukan utama semata-mata.
Walhal, skuad ini memiliki potensi yang cukup besar sepertimana yang dibuktikan sebelum ini ketika pasukan B-19 negara menjuarai saingan Piala AFF B-19 tahun ini.
Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pencapaian dan prestasi yang bakal dipamerkan oleh wakil negara apabila bertemu dengan pasukan yang lebih bersedia dari segala aspek.
Pasukan B-19 di bawah kendalian Hassan Sazali yang baru berangkat ke Mongolia untuk bersaing di pusingan kelayakan Piala Asia B-20 turut mengadakan persiapan minit akhir.
Mereka sempat membuat persiapan kurang sebulan dan hanya mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bertemu pasukan tempatan seperti skuad Projek FAM-MSN sahaja.
Jauh berbeza dengan persiapan yang dilakukan oleh skuad negara jiran seperti Indonesia yang berkelana ke Jepun untuk mengadakan latihan dan perlawanan ujian.
Tempoh latihan yang singkat akan merencatkan proses pembinaan persefehaman di kalangan pemain-pemain negara.
FAM serta barisan kejurulatihan perlu bekerjasama untuk memperbaiki keadaan ini bagi membolehkan berlakunya persiapan yang lebih rapi dan terperinci di masa hadapan buat pasukan Harimau Muda.
Semoga dalam masa terdekat akan ada pengumuman yang dilakukan berkaitan pasukan B-16 negara.
Pada masa yang sama, diharap agar pasukan B-19 Malaysia dapat meneruskan momentum kecemerlangan di pusingan kelayakan yang akan bermula pada 14 September ini.
Mereka perlu mengumpul seberapa banyak mata untuk melayakkan diri secara merit ke kejohanan Piala Asia B-20 tahun hadapan yang bakal diadakan di Uzbekistan.
Selamat maju jaya Harimau Muda!