Kolaborasi BAM-pemain profesional beri manfaat ramai pihak, tingkatkan kualiti badminton negara

383

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal mewujudkan sebuah perjanjian kolaborasi di antara badan induk tersebut bersama dengan pemain profesional negara.

Antara kandungan perjanjian tersebut adalah untuk membuka akses kepada pemain profesional untuk menjalankan latihan di fasiliti yang dimiliki oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM) bertempat di Bukit Kiara.


Perjanjian yang dijangka siap dalam masa terdekat akan memberi kelebihan kepada semua pemain badminton samada yang masih berada di bawah naungan BAM serta pemain-pemain profesional seperti pemain No. 4 Dunia, Lee Zii Jia serta pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing.

Kehadiran pemain-pemain ini di pusat latihan skuad kebangsaan bakal memberi manfaat kepada pemain muda seperti Ng Tze Yong dalam mendapatkan sparring partner yang berkualiti.

Tze Yong boleh menggunakan pengalaman bermain bersama Zii Jia sebagai bantuan untuknya memperbaiki prestasi semasanya.

Pada masa yang sama, Zii Jia juga akan turut memperoleh situasi ‘win-win’ tatkala beliau akan mempunyai peluang berlatih dengan lebih ramai pemain muda yang mampu mencabar kemampuan beliau.

Selain Tze Yong, BAM turut dibarisi oleh beberapa pemain muda berkualiti seperti Leong Jun Hao dan Shaqeem Eiman yang sedang meningkat naik.

Ini akan memberi cabaran yang lebih besar kepada pemain No. 1 Negara tersebut yang hanya berlatih bersama seorang lagi pemain, Liew Darren buat ketika ini.

Situasi ini akan membantu Zii Jia untuk kembali mendapatkan rentaknya susulan kekecewaan di beberapa kejohanan sebelum ini termasuk Kejuaraan Dunia di Tokyo.

Selain Zii Jia, skuad beregu lelaki negara bakal menerima impak yang sama sekiranya perkara ini benar-benar berlaku.

Pasangan Ong Yew Sin/Teo Ee Yi akan menjadi sparring yang baik buat beregu lelaki negara seperti Aaron Chia/Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei/Nur Izzuddin.

Yew Sin/Ee Yi dan Sze Fei/Izzuddin boleh menggunakan peluang ini sebagai medan mengekalkan prestasi mereka menjelang kejohanan Jelajah Dunia Akhir.

Pasangan Yew Sin dan Ee Yi kini berada di ranking kelima manakala Sze Fei dan Izzuddin di kedudukan keenam.

Hanya lapan pemain di tempat teratas sahaja yang bakal melayakkan diri ke kejohanan berprestij tersebut.

Aaron dan Wooi Yik telah berjaya mengesahkan tempat mereka secara automatik selepas kejayaan merangkul Kejuaraan Dunia baru-baru ini.

Secara dasarnya, tindakan BAM ini adalah tepat dan terbaik dalam usaha untuk terus menjulang nama negara ke tahap yang lebih tinggi.

Inisiatif ini perlu direalisasikan bagi menjamin prestasi kesemua pemain yang mewakili negara mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

Semoga kita dapat melihat kebangkitan pemain-pemain negara untuk mengikut jejak langkah Aaron dan Wooi Yik dalam menggegar arena badminton dunia.