Adakah UiTM FC akan kekal di Liga Malaysia pada musim 2023?

549

Pada awal musim lalu pasukan UiTM FC yang beraksi di saingan Liga Perdana menjadi perhatian ramai peminat bola sepak tanah air selepas terpalit dengan beberapa kontroversi termasuk berdepan masalah tunggakan gaji.

Namun selepas itu mereka sudah tidak berdepan sebarang masalah dan berjaya mengharungi saingan liga dengan lancar apabila berjaya mengharungi 17 perlawanan dengan menang lima kali, seri dua kali dan kalah 10 kali berada pada kedudukan ketujuh Liga Perdana.


Dengan saingan Liga Perdana sudah hampir melabuhkan tirainya tidak lama lagi, ramai yang mula tertanya-tanya adakah pasukan universiti ini akan kekal dalam saingan Liga Malaysia atau tidak pada musim 2023.

Ini kerana pada musim depan pihak penganjur liga iaitu Malaysian Football League (MFL) akan melakukan penstrukturan liga dengan memansuhkan Liga Perdana buat sementara waktu dan menambah jumlah pasukan di Liga Super.

Berdasarkan kedudukan semasa, pasukan UiTM dan Perak FC dijangka akan bermain pada perlawanan play-off dengan dua pasukan teratas Liga M3 iaitu PIB FC dan KL Rovers FC bagi merebut slot ke Liga Super.

UiTM pernah bermain di saingan Liga Super pada musim lalu, namun tidak bertahan lama apabila mereka tersingkir ke Liga Perdana.

Pada awal tahun lalu, terdapat khabar angin yang mengatakan UiTM akan menarik diri dari Liga Malaysia dek tidak mempunyai bajet, namun mereka diselamatkan di saat-saat akhir selepas mendapat dana sekitar RM3.7 juta.

Persoalannya kini, mampukah mereka bersaing jika mereka layak ke Liga Super musim hadapan? Ini kerana dengan penstrukturan liga, bajet untuk setiap pasukan akan meningkat dengan bajet mininum sekitar RM8-10 juta semusim.

UiTM sendiri bergelut untuk dapatkan dana pada musim ini, mereka pasti akan bergelut untuk dapatkan dana lebih besar untuk musim hadapan.

Tambahan pula, masih lagi tiada perkembangan terbaru mengenai pihak berpotensi untuk mengambil alih pasukan itu untuk mengikut kriteria yang telah ditetapkan yang mana setiap pasukan perlu diswastakan sepenuhnya pada tahun hadapan.

UiTM sebelum ini pernah berbincang dengan beberapa bakal pemilik tetapi perbincangan kandas di tengah jalan berikutan kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

Apa yang menjadi penghalang utama dari UiTM diswastakan adalah bakal pembeli sebelum ini membatalkan hasrat untuk ambil alih pasukan itu kerana mereka bukan sahaja mahu pasukan tetapi juga fasiliti.

Yang menjadi masalah adalah fasiliti yang digunakan oleh pasukan UiTM ketika ini adalah milik universiti itu sendiri, malah ia terletak di dalam kawasan kampus oleh itu mustahil untuk mereka ‘menjual’ sekali fasiliti kerana ia turut digunakan oleh pelajar di situ.

Jadi di sini wujud satu masalah yang amat sukar buat kedua-dua pihak yang mana pihak UiTM tidak boleh memindah hak milik fasiliti itu kepada pemilik baru, manakala pihak pembeli pula perlu cari fasiliti sendiri dan ia pasti akan menjadikan pengambilalihan pasukan itu menjadi sangat mahal.

Oleh itu berbalik kepada persoalan utama, adakah UiTM akan kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim hadapan? Atau mereka mempunyai perancangan lain seperti tarik diri dan bersaing di Liga Bolasepak IPT? Sama-sama kita tunggu perkembangan terbaru dari semasa ke semasa.