Harrif tak mampu beli basikal trek

301

Ibarat menanti buah yang tidak gugur.

Itulah yang dirasai pelumba basikal lebuh raya negara, Mohd. Harrif Salleh ketika ditanya tentang impiannya untuk kembali dalam acara trek.


Pelumba handalan Terengganu Cycling Team (TSG) itu berkata, dia masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Sehingga hari ini, masih belum ada apa-apa berita tentang perkara tersebut. Saya masih menunggu jawapan daripada MSN dan PKBM. Dah lebih tiga bulan saya menyuarakan keinginan ini.

“Saya akan sertai kem latihan pasukan trek negara jika diberi peluang tetapi jika sebaliknya saya terima dengan hati yang terbuka.

“Kos untuk menjalani latihan dalam acara trek agak tinggi. Basikal untuk perlumbaan trek sangat berbeza dengan basikal yang saya gunakan ketika ini.

“Sudah tentu saya mempunyai banyak basikal lebuh raya tetapi saya tiada basikal trek, harga basikal ini sangat mahal.

“Harga sebiji basikal trek dianggarkan berharga 30,000 hingga 50,000. Memang saya tak mampu nak beli.

“Saya tak kisah jika Majlis Sukan Negeri Terenggau atau MSN sekadar pinjamkan saya basikal itu. Mereka ada banyak basikal dalam simpanan,” kata Harrif.

Pelumba berusia 33 tahun itu berkata, hatinya terbuka untuk kembali ke velodrome selepas menyaksikan kejayaan pelumba negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Lantaran itu, dia memasang impian untuk menyertai semula acara trek dan beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Elaun bukan keutamaan Harrif ketika ini kerana apa yang penting dia diberi peluang untuk menyertai pasukan trek negara menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.

Jika dipanggil semula untuk menyertai pasukan trek negara, Harrif tidak lagi perlu memikirkan tentang kelengkapan dan keperluan asas lain seperti basikal, tempat penginapan serta perancangan bagi menyertai kejohanan sebelum ke Sukan Olimpik 2024.

Harrif pernah mengikuti kem latihan skuad basikal trek kebangsaan di Melbourne bersama Datuk Azizulhasni Awang pada 2010 di bawah kendalian jurulatih, John Beasley.

Harrif memulakan karier dalam acara trek pada Kejohanan Remaja Asia di India pada 2005 dan memenangi pingat emas dalam acara scratch serta pecut berpasukan bersama Azizul.

Pada Sukan SEA 2007, dia meraih emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan bersama Amir Mustafa Rusli, Mohammad Akmal Amrun dan Mohd Jasmin Ruslan.

Pada tahun sama, dia turut menang emas acara kegemarannya scratch pada Kejohanan ACC di Bangkok.

Kejayaan di Bangkok itu merupakan kenangan amat manis buat Harrif kerana dia menang dalam kategori senior.

Tahun berikutnya, dia layak ke Kejohanan Trek Dunia di Manchester, England tapi gagal menghabiskan perlumbaan.

Pada 2011, dia fokus dalam acara lebuh raya bersama pasukan TSG dan melakar kenangan manis apabila memenangi tangga ketiga pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Sejak itu, dia meninggalkan acara trek sekali gus menumpukan 100 peratus kepada perlumbaan lebuh raya sebelum menyuarakan kesediaan untuk kembali berkayuh dalam acara trek jika khidmatnya diperlukan.