Liga Malaysia dan Sabah FC terlalu kecil, Saddil Ramdani bergabung dengan Kurniawan Dwi Yulianto di Itali?

1,508

Sejak menyertai Sabah FC musim lalu, nama Saddil Ramdani sering kali dikaitkan dengan perpindahan ke Eropah sehinggakan para penyokong sudah muak dengan isu tersebut.

Awal tahun ini, Sabah dilaporkan telah menolak tawaran daripada kelab Serbia, FK Novi Pazar bagi mendapatkan pemain Indonesia itu.


Selain daripada kelab itu, terdapat juga tawaran daripada kelab Slovakia, Bosnia dan Belarus terhadap pemain berusia 23 tahun itu.

Baru-baru ini, bekas ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menggesa Saddil supaya meninggalkan ASEAN dan mengembangkan kariernya di Eropah.

Beliau berpendapat bahawa ini adalah masa yang sesuai buat Saddil untuk berhijrah ke saingan yang lebih besar dengan kualiti yang ada pada dirinya.

Kurniawan kini merupakan pembantu jurulatih di kelab Serie B, Como 1907 jadi tidak mustahil beliau akan cuba membawa Saddil berhijrah ke kelab itu satu hari nanti.

Setidak-tidaknya, mungkin juga beliau akan membantu Saddil untuk berhijrah ke kelab Eropah lain memandangkan beliau mempunyai kenalan di sana.

Bukan sahaja Kurniawan, beliau juga menerima desakan daripada peminat-peminat di Indonesia yang tidak putus-putus mengarahkannya untuk menerima tawaran di Eropah.

Kontrak Saddil akan tamat pada November tahun ini, jadi dengan tekanan yang diterima daripada pelbagai pihak supaya bermain di Eropah, ini mungkin adalah musim terakhirnya di Sabah.

Menurut laporan, Sabah telah mengemukakan tawaran kontrak baharu buat pemain itu namun beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu terus kekal atau berhijrah.