Loh Wei Sheng jadi jurulatih badminton seterusnya ke luar negara, hilang seorang lagi prospek negara

627

Baru-baru ini, kem badminton negara telah kehilangan seorang lagi jurulatih selepas Loh Wei Sheng membuat keputusan untuk berhijrah ke Singapura.

Wei Sheng sebelum ini menggalas tugas dalam melatih pemain-pemain perseorangan wanita negara selepas bekas ketua jurulatih, Indra Wijaya mengumumkan pengunduran dari barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali ke Indonesia.


Selama lebih kurang enam bulan, Wei Sheng terpaksa bertindak sebagai jurulatih utama sebelum kemasukan legenda negara dari Sarawak, James Chua sebagai ketua jurulatih yang baru pada Julai lalu.  

Kehilangan Wei Sheng boleh dianggap sebagai antara kehilangan yang besar kepada negara tatkala jurulatih tersebut mempunyai potensi yang besar.

Wei Sheng merupakan seorang bekas pemain perseorangan negara yang telah meninggalkan BAM pada tahun 2014 untuk melanjutkan pelajaran.

Sebagai seorang pemain, Wei Sheng berjaya menjadi naib juara pada kejohanan Junior Asia pada tahun 2010.

Komitmen dan kemampuan beliau telah menarik minat seorang lagi jurulatih, Datuk Tey Seu Bock untuk memasukkan beliau di dalam barisan kejurulatihan beregu wanita negara pada tahun 2017 yang lalu.

Jurulatih berusia 29 tersebut bakal menjadi wakil ketiga Malaysia yang berkelana ke Singapura selepas dua legenda negara, Lim Pek Siah dan Yap Kim Hock.

Pek Siah kini sedang mengambil tanggungjawab dalam melatih pasukan beregu negara tersebut manakala Kim Hock telah meninggalkan Singapura pada tahun lepas.  

Penghijrahan ini bakal meninggalkan kekosongan di bahagian kejurulatihan wanita negara, beban ini perlu dipikul sepenuhnya oleh Chua buat sementara waktu sementara pihak BAM mencari pengganti yang sesuai.

Wei Sheng bakal menggalas tugas sebagai pembantu jurulatih untuk pemain perseorangan lelaki Singapura.

Dengan usia yang masih muda, pengalaman ini bakal membantu Wei Sheng untuk terus meningkatkan kemampuannya bagi menjadi seorang jurulatih yang berkualiti di masa hadapan.

Semoga peluang ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk kembali dibawa pulang untuk membantu meningkatkan kembali prestasi pemain perseorangan wanita negara yang sedikit ketinggalan buat masa ini.

Pihak BAM terutamanya Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Wong Choong Hann perlu mula mencari pengganti yang terbaik bermula dari sekarang.

Sehingga kini, pemain wanita seperti S. Kisona, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul dan Siti Nurshuhaini masih belum berjaya menunjukkan prestasi yang menyakinkan di peringkat antarabangsa.

Diharap jurulatih yang dipilih selepas ini dapat membawa perubahan yang besar kepada skuad wanita dalam usaha mengembalikan kegembilangan yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

Para peminat badminton negara sudah semestinya merindui untuk melihat pemain-pemain perseorangan wanita berjaya menempa kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Terdahulu, kita pernah memiliki beberapa orang pemain yang hebat seperti bekas pemain, Datin Wong Mew Choo yang pernah memenangi dua emas di temasya Sukan SEA serta pemenang pingat emas di kejohanan Junior Dunia, Goh Jin Wei.