Sertai FK Jablonec sebelum ke JDT, langkah tepat Dion Cools kekalkan prestasi di tahap yang tinggi

2,076

Selepas meninggalkan kelab Denmark, FC Midtjylland minggu lalu, pemain kebangsaan, Dion Cools terus kekal di Eropah selepas menyertai kelab Republik Czech, FK Jablonec.

Perpindahannya ke kelab itu bertentangan dengan jangkaan orang ramai yang menyangka bahawa beliau akan ke juara Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT).


Ini kerana, pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini berkata bahawa baginda akan menandatangani Cools pada hujung tahun ini atau tahun hadapan selepas kontraknya tamat.

Baginda juga ada memuatnaik satu Instastory dengan kapsyen “happy four months stopover, see you in Johor January” berserta dengan logo JDT.

Mungkin perpindahan ke FK Jablonec adalah persinggahan sementara supaya beliau terus kekal beraksi dalam perlawanan kompetitif sementara menunggu masa untuk menyertai JDT.

Tindakan itu dilihat bijak bagi memastikan prestasinya tidak merudum sebelum menunggu untuk disahkan sebagai pemain JDT.

Tambahan pula, beliau tidak diturunkan langsung oleh FC Midtjylland dalam mana-mana perlawanan musim ini, sekiranya beliau terus kekal bersama kelab itu, kemungkinan besar beliau tidak akan mendapat peluang untuk beraksi lagi sehingga kontraknya tamat.

Musim depan, JDT akan terus berusaha untuk pergi lebih jauh dalam saingan AFC Champions League, jadi dengan pengalaman yang dimiliki oleh Cools di pentas tertinggi termasuk saingan UEFA Champions League, ia akan memberi kelebihan besar buat kelab itu.