Lim Teong Kim sah dilantik sebagai ketua jurulatih Perak FC

4,873

Teka-teki mengenai masa depan bekas Pengarah Akademi Mohktar Dahari (AMD), Lim Teong Kim akhirnya terjawab juga apabila beliau kini sah dilantik sebagai ketua jurulatih Perak FC yang baru untuk musim 2023.

Perkara itu telah diumumkan oleh Perak di media sosial rasmi mereka dengan memuat naik kenyataan media dan gambar Teong Kim bersama Pengerusi Perak iaitu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.


Teong kini akan mengendalikan skuad The Bos Gaurus selama dua tahun dengan kelab mempunyai pilihan untuk memperbaharui kontrak selama setahun ini.

“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami,”

ujar Abdul Azim dalam kenyataan rasmi.

Tambah Abdul Azim lagi, Teong Kim telah menyatakan bahawa beliau mahu membawa perubahan struktur kepada kelab tersebut bagi memastikan Perak kembali menjadi salah sebuah pencabar utama.

Dalam pada itu, Teong Kim merupakan seorang jurulatih yang cukup berpengalaman yang mana beliau pernah berada dalam barisan kejurulatihan bersama kelab Bayern Munich B-19 selama 12 tahun yang mana beliau pernah melatih bintang bola sepak dunia seperti Toni Kroos, Thomas Muller, David Alaba dan Emre Can.

Selain menjadi Pengarah AMD, beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Dengan pelantikan Teong Kim sebagai ketua jurulatih yang baru, Yusri Che Lah akan diberi tanggungjawab baru iaitu sebagai ketua jurulatih skuad simpanan B-23 yang akan beraksi dalam Liga Simpanan.