Berisiko terlepas slot Piala Malaysia, penyokong Melaka United muak dengan pengurusan yang tak pernah berubah
Saban musim, ada sahaja isu melibatkan pasukan Melaka United FC terutama melibatkan masalah kewangan dan tunggakan gaji.
Penyokong Melaka United sudah jemu dengan pelbagai isu melanda pasukan itu yang tidak putus-putus timbul dan juga muak dengan pihak pengurusan yang bermasalah.
Malah, ketika Naib Presiden Melaka United Soccer Association, Noor Azman Rahman dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru, ramai penyokong Melaka United yang memperlekehkan pelantikan itu.
Baru-baru ini, pemain Melaka United mendakwa mereka sudah tiga bulan tidak menerima gaji membabitkan pembayaran gaji bagi Jun dan Julai serta baki bayaran Januari lalu.
Pemain-pemain import kelab itu dipercayai sedang melancarkan ‘mogok’ gara-gara tunggakan tersebut sehinggakan tidak mahu bermain.
Ketika perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC baru-baru ini, tiada seorang pemain import pun yang tersenarai dalam skuad.
Tidak mustahil kesemua import tersebut akan ‘cabut lari’ selepas kontrak mereka tamat sekiranya pihak pengurusan masih tidak berubah.
Para penyokong Melaka United bagaimanapun berharap supaya musim depan tiada lagi isu ‘remeh’ seperti itu berlaku kepada pasukan kesayangan mereka itu.
Ketika ini ramai penyokong yang bimbang Melaka United tidak akan diberikan slot untuk ke Piala Malaysia disebabkan masalah tunggakan gaji tersebut.
Musim lalu, Melaka United seakan-akan menemui sinar ketika penghujung musim apabila berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, namun skrip sama berulang kembali pada musim ini.
Walaubagaimanapun, masih ada sebilangan penyokong Melaka United yang berharap bahawa pasukan itu dapat beraksi dalam perlawanan akhir pula
Namun, apa yang perlu dilakukan pihak pengurusan ketika ini adalah menyelesaikan dahulu masalah tunggakan gaji, jika tidak Melaka United mungkin sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia.