Inilah masanya untuk Zhafri Yahya dan Declan Lambert dapat kap pertama bersama Harimau Malaya tapi…

1,802

Ramai yang teruja selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai 25 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula pada 16 September ini bagi menghadapi kejohanan King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand.

Dalam senarai 25 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon, dua nama pemain daripada KL City FC turut tersenarai iaitu Zhafri Yahya dan Declan Lambert.


Ini merupakan panggilan kedua buat Zhafri namun beliau masih lagi belum mendapat kap pertamanya bersama Malaysia, manakala Declan pula ini merupakan panggilan kebangsaan pertamanya.

Sudah pasti kedua-dua pemain ini teruja apabila dipanggil berikutan ini adalah peluang mereka untuk mendapatkan kap kebangsaan pertama mereka.

Bagaimanapun impian mereka untuk menyarung jersi negara berkemungkinan tidak akan menjadi kenyataan berikutan ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak terpaksa mengambil tindakan untuk tidak membenarkan kedua-dua tonggak utamanya dari beraksi dalam skuad negara.

Ini kerana mereka mempunyai jadual yang agak padat musim ini dengan beberapa perlawanan Liga Super terpaksa ditunda bagi memberi ruang kepada mereka untuk beraksi di pentas Piala AFC.

Berikutan itu, pihak pengurusan KL City akan memohon pengecualian daripada pihak FAM berikutan kejohanan King’s Cup Thailand hanya perlawanan persahabatan yang tidak akan mendapat mata daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebaliknya mereka mahu fokus pada perlawanan saingan liga dan juga perlawanan akhir Piala AFC Antara Zon menentang FC Sogdiana Jizzakh kerana ia akan menyumbang mata sekaligus dapat meningkatkan lagi kedudukan Liga Malaysia di antara wakil AFC musim depan.

Terdahulu KL City telah berjaya mencipta sejarah apabila menumbangkan gergasi dari India, ATK Mohun Bagan 3-1 di tempat lawan.

Apa pun kita perlu tunggu pada hari Jumaat (16 September) ini untuk melihat samada kedua-dua pemain itu benar-benar tidak akan bersama skuad negara atau pun sebaliknya.

Jika mereka terpaksa menarik diri, peluang mereka untuk dipanggil oleh Pan-gon selepas ini mungkin akan menjadi tipis.

Ini kerana pengendali dari Korea Selatan itu ketika ini dilihat sentiasa hadir ke perlawanan-perlawanan Liga Malaysia bagi melihat sendiri pemain yang berpotensi untuk diserapkan ke skuad negara.

Sejak Pan-gon mengambil alih pasukan kebangsaan, pemain tempatan kini mempunyai peluang cerah untuk diserapkan ke skuad negara kerana beliau tidak melihat kepada nama seseorang pemain, sebaliknya melihat kepada prestasi semasa.

Apa pun kita doakan yang terbaik buat Zhafri dan Declan kerana kedua-dua pemain ini mempunyai potensi yang cukup besar kerana walaupun mereka tidak pernah menyarung jersi kebangsaan tetapi mereka mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.