Siapa layak galas tanggungjawab sebagai kapten Harimau Malaya?

1,993

Menjelang kejohanan  King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September ini, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah memanggil 25 pemain untuk menyertai kem latihan pusat bermula Jumaat ini (16 September).

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan, beliau mengekalkan 17 daripada 23 pemain yang membawa cabaran negara ketika kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu dan membawa lapan muka baru.


Enam nama yang tidak dikekalkan adalah Farizal Marlias, Safiq Rahim, Guilherme de Paula, Syamer Kutty Abba, Ruventhiran Vengadesan dan Khairulazhan Khalid.

Berikutan ketiadaan Farizal dan juga Safiq yang merupakan dua kapten utama pasukan sebelum ini, timbul persoalan siapakah bakal ketua pasukan bagi skuad kali ini.

Daripada 25 nama yang dipilih, tiga pemain dilihat mempunyai ciri-ciri dan personaliti sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut iaitu Brendan Gan, Dion Cools dan Shahrul Saad.

Brendan Gan

Sifat kepimpinan yang dimiliki oleh Brendan Gan yang juga kapten bagi Selangor FC sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi kerana beliau begitu bersemangat dan sering menjadi orang pertama yang melindungi rakan-rakan di atas padang.

Beliau juga dikenali sebagai seorang pahlawan kerana berjaya melawan kanser testis dan bangkit daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebelum ini.

Keupayaannya bangkit daripada kecederaan dan kanser yang dihidapinya menjadi inspirasi buat ramai orang termasuklah pihak lawan.

Brendan juga merupakan figura yang amat dihormati serta berpengaruh dalam bola sepak tempatan sama ada dalam kalangan pemain mahupun peminat.

Dion Cools

Salah seorang pemain yang menjadi kesayangan peminat, Cools boleh dikatakan sebagai antara pemain yang paling bersemangat ketika di atas padang.

Sikapnya yang begitu vokal di atas padang membuatkannya amat sesuai untuk menjadi kapten dan kesanggupannya mewakili Malaysia walaupun layak bermain bersama Belgium menunjukkan kecintaannya terhadap negara ini.

Beliau juga mempunyai sikap kebertanggungjawaban yang tinggi, contohnya ketika Malaysia tewas di tangan Singapura Mac lalu apabila meminta maaf atas kesilapannya yang menyebabkan pemain lawan menjaringkan gol.

Selain itu, Cools juga merupakan salah seorang daripada empat kapten yang dipilih oleh Pan-gon ketika kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.

Jadi tidak mustahil Pan-gon akan terus meletakkan kepercayaan kepadanya untuk mengetuai skuad negara.

Shahrul Saad

Shahrul Saad dikenali sebagai seorang yang vokal dan sering memberi arahan kepada rakan-rakan di atas padang.

Di sebalik personalitinya atas padang yang ‘garang’, beliau adalah seorang pemain yang bijak mengawal emosi.

Selain itu, Shahrul adalah antara pemain yang mempunyai pengaruh yang besar dan dihormati tinggi oleh rakan-rakan.

Sekiranya dipilih menjadi kapten, beliau sudah pasti tidak akan kekok dengan tanggungjawab tersebut kerana pernah menjadi kapten bagi pasukan Perak FC.