Hassan Sazali akui barisan serangan tumpul jadi punca Malaysia gagal kutip 3 mata pertama menentang Mongolia

768

Ketua jurulatih pasukan B-19 Malaysia, Hassan Sazali Waras mengakui ketumpulan di barisan serangan menjadi punca skuad negara gagal meraih tiga mata penuh apabila menentang Mongolia pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan jaringan 1-1, skuad Harimau Muda berjaya menguasai permainan sepenuhnya, namun gagal mencari gol kemenangan.


“Keseluruhannya pasukan berjaya menguasai permainan, cuma barisan hadapan kita tidak menyudahkan beberapa peluang yang diperolehi. Pasukan tuan rumah pula bermain secara bertahan setelah mendahului,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hassan, anak buahnya juga belum dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sana termasuk keadaan padang yang berbeza.

“Kita hanya mempunyai masa sehari sahaja untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang sebelum perlawanan hari ini.

Pemain berdepan kesukaran sedikit dalam mengawal pernafasan mereka, tetapi saya berharap mereka akan cepat menyesuaikan diri bagi menghadapi dua lagi perlawanan untuk layak ke pusingan akhir nanti.”

Tambahnya lagi, beliau akan melakukan sedikit perubahan dari segi kesebelasan utama pada perlawanan kedua nanti menentang Sri Lanka pada 16 September dengan merehatkan beberapa pemain utama.

Beliau bagaimana akan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi bagi memastikan mereka sentiasa melakukan serangan untuk mencari gol.

Malaysia kini berada di kedudukan kedua kumpulan di belakang Korea Selatan yang sebelum itu membelasah Sri Lanka 6-0.

Selepas menentang Sri Lanka, Malaysia akan menamatkan saingan kelayakan dengan menentang Korea pada 18 September.