Tiada sebab untuk Selangor abaikan akar umbi, miliki semua aspek yang diperlukan untuk menjadi sebuah ‘grassroot powerhouse’ – Tengku Nana

765

Pemilik kelab bola sepak akar umbi TSS FC, Tengku Shakirinal Shah yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menjadi antara negeri pengeluar bakat muda yang terbesar di Malaysia.

FAS dilihat lengkap dari segala aspek namun setakat ini dapat dilihat bahawa tiada inisiatif yang berkesan telah dilakukan oleh persatuan tersebut bagi menyokong pembangunan pemain muda.


Sedangkan, mereka memiliki kekuatan dari segi dana untuk bergerak lima langkah ke hadapan berbanding pasukan lain.

“Pasukan Selangor ini sangat beruntung kerana sering mendapat bantuan dari kerajaan negeri.

Tapi Selangor tidak mengambil advantage dari perkara ini, sepatutnya mereka fokuskan kepada pembangunan akar umbi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tengku Shakirinal atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Nana berharap agar pihak pengurusan FAS dapat memperhalusi perkara ini.

Tidak mustahil dengan adanya langkah yang tepat serta komitmen yang tinggi daripada ahli persatuan, Selangor akan dapat menghasilkan lebih ramai pemain muda berkualiti di masa hadapan.

“Kalau FAS tidak mengambil advantage mengadakan grassroot dari peringkat enam tahun ke remaja dan sebagainya, rugi.

Saya percaya Selangor boleh menempa nama jadi grassroot powerhouse.

Tengku Nana yang sebelum ini dikatakan pernah berminat untuk terlibat di dalam barisan pengurusan FAS.

Tengku berhasrat untuk akan menjadikan pembangunan akar umbi sebagai matlamat utama buatnya andai beliau menyertai persatuan tersebut suatu hari nanti.

“Saya rasa grassroot Selangor akan jadi fokus utama sekiranya saya ingin mula membantu pasukan ini.

Kita di Lembah Klang senang untuk menjumpai bakat-bakat muda kerana kita memiliki banyak kejohanan yang dianjurkan di sini.”

Beliau juga percaya bahawa bakat-bakat muda di Malaysia memiliki semua aspek yang diperlukan untuk berjaya sebagai seorang pemain bola sepak berkualiti di masa hadapan.

Semangat juang yang tinggi di kalangan pemain cilik ini memberi kelebihan kepada mereka tatkala bersaing di kejohanan-kejohanan luar negara yang disertai oleh pasukan yang lebih kuat.

Pihak bertanggungjawab perlu memanfaatkan situasi ini dengan sebaiknya untuk mewujudkan sebuah kelompok pemain muda yang mampu menggalas cabaran negara pada kejohanan besar yang mendatang.

“Saya percaya sebab selepas saya tengok sendiri Akademi Tunas dan NFDP ini, saya percaya pemain kita boleh pergi lebih jauh.

Dengan syarat ada tunjuk ajar yang baik seperti AMD dan program yang baik selepas pemain tamat program tersebut.” kata Tengku Nana.

Sebalik meletakkan tanggungjawab penuh kepada Akademi Mokhtar Dahari serta program-program pembangunan yang lain semata-mata, pihak pengurusan negeri juga perlu sama-sama mencari solusi dalam usaha membangunkan pemain bermula dari peringkat akar umbi.

Kerjasama di antara persatuan negeri dan akademi-akademi ini akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan bakat-bakat baru yang bakal menggegarkan arena bola sepak antarabangsa suatu hari nanti.

“Peringkat kelab atau negeri perlu mengambil berat tentang akar umbi ini kerana ia sebenarnya merupakan salah satu aspek yang paling penting.

Kalau tiada program pembangunan akar umbi yang baik, pemain tidak boleh berkembang sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.”

Tengku Nana telah memainkan peranan penting dalam membantu pemain-pemain muda yang mewakili TSS FC untuk mencapai pelbagai kejayaan demi peringkat antarabangsa.

TSS FC memberi fokus kepada tiga peringkat umur iaitu bawah B-6, B-9 serta B-12.