Tengku Nana akui perubahan yang berlaku di Selangor FC, perlu ada bimbingan individu berjiwa bola

5,499

Tengku Shakirinal Shah atau lebih mesra disapa sebagai Tengku Nana menyedari akan perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika ini.

Namun, transformasi yang terjadi pada waktu ini dilihat masih mempunyai sedikit kekurangan tatkala pencapaian di dalam setiap perlawanan liga dan kejohanan yang disertai masih kurang memuaskan.


“Sejak FAS dirombak dalam lima tahun lepas, memang ada perubahan dari segi pengurusan pasukan, pembinaan padang latihan dan sebagainya.

Tetapi, yang utama adalah untuk melihat pemain yang dipilih untuk beraksi di atas padang, kalau mereka tidak menang orang tetap akan bercakap,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut berpendapat bahawa kemasukan elemen luar seperti DNA Jerman dan sebagainya adalah sebuah tindakan yang kurang berkesan dan hanya merugikan pasukan.

Perkara ini terbukti selepas ketua jurulatih sebelum ini, Michael Feichtenbeiner tidak dapat menggalas tugas yang diberikan dengan sebaiknya selepas beliau menghadapi kekalahan demi kekalahan dalam saingan Liga Super serta di Piala FA.

“Selangor memiliki banyak pemain-pemain yang bagus serta mempunyai sejarah tersendiri yang cukup gah.

Saya rasa sedikit buang masa dan duit untuk gunakan DNA Jerman dan sebagainya jika mereka tidak berjaya buktikan sesuatu.”

Kegagalan ini yang membuat Tengku Nana sedikit terkilan dan berharap agar barisan pengurusan tertinggi FAS dapat melakukan pertimbangan yang lebih baik selepas ini.

Tambahan pula, kos yang dikeluarkan untuk membawa sesetengah jurulatih luar bersama barisan kejurulatihannya akan melibatkan jumlah yang sangat tinggi.

Tanpa hasil, usaha tersebut boleh diibaratkan sebagai ‘tin kosong’, sia-sia dan tidak membawa manfaat kepada pasukan.

“Kita panggil mereka ini berbayar dan harga mereka bukan sama seperti jurulatih tempatan, mereka memiliki harga yang setaraf dengan mata wang mereka.

Kita perlu menilai balik samada apa yang dilakukan buat masa ini sesuai atau tidak, sesuaikah DNA Jerman ini dengan pemain kita dan sebagainya.”

Tengku juga harap agar pihak bertanggungjawab dapat menunjukkan minat yang lebih mendalam terhadap meningkatkan kualiti bola sepak negeri Selangor.

Contoh-contoh yang baik daripada pengurusan pasukan lain boleh diambil sebagai teladan dalam usaha membangunkan lagi pasukan ke peringkat yang lebih membanggakan.

“Passion bola ini tengok seperti apa yang TMJ buat dari atas sehinggalah ke peringkat bawah seperti pemilihan baja untuk padang.

Kena bersungguh, kena ada passion dalam melakukan sesuatu kepada pasukan.”

Tengku Nana sebelum ini pernah dikaitkan bakal menjawat jawatan penting di dalam FAS.

Bagaimanapun, beliau buat masa ini tidak memiliki hasrat untuk merealisasikan perkara tersebut dalam masa terdekat untuk memberikan fokus terlebih dahulu kepada kelab yang dimlikinya, TSS FC.

“Minat mungkin sudah tiada sebab untuk saya bukan senang nak uruskan pasukan bola sepak.

Sebab saya buat grassroot sahaja sudah pening untuk menguruskan, tapi jika ada bantuan dari kumpulan yang betul, tiada masalah rasanya.”

Semoga selepas ini akan ada perubahan besar yang bakal dilakukan oleh pihak FAS seperti mana yang dituntut oleh para peminat.

Selangor FC berjaya menunjukkan kebangkitan pada dua perlawanan terakhir selepas berjaya mengikat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC serta menang ke atas Sabah FC di Stadium Likas.