Richard Chin sudah sedia sarung jersi Harimau Malaya, kini tunggu ‘call up’ sahaja

2,163

Pemain kacukan Malaysia-England, Richard Chin dikatakan sudah bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya mendapat panggilan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perkara itu didedahkan oleh ejen pemain itu sendiri iaitu Rock Sports Management yang turut berkata bahawa pihak FAM sendiri sudah ‘aware’ dengan minat pemain berusia berusia 19 tahun itu.


Richard menjadi bualan ramai terutamanya peminat bola sepak tanah air yang teruja dengan kehebatan pemain muda ini apabila beliau telah mencipta sejarah sebagai pemain kacukan pertama Malaysia yang beraksi dalam saingan EFL League One iaitu liga divisyen ketiga di England.

Beliau yang beraksi di posisi pertahanan kanan bersama kelab Charlton Athletic telah membuat debutnya bersama kelab itu di saingan liga menentang Forest Green dengan menyaksikan beliau beraksi selama 72 minit dalam perlawanan yang berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pencapaian oleh Richard ini adalah yang terbaik berbanding pemain kacukan negara lain yang kini beraksi di Liga Malaysia seperti Daniel Ting, Darren Lok dan Junior Eldstal yang sebelum ini pernah beraksi di divisyen keenam ke bawah di liga England.

Seorang lagi pemain kacukan negara yang menjadi tumpuan ramai iaitu Kobe Jae Chong juga beraksi di liga England bersama kelab AFC Telford United di divisyen enam.

FAM perlu segera bertindak untuk memastikan Malaysia dapat menggunakan ‘kepakaran’ yang ada pada pemain itu untuk bantu skuad negara.

Dengan usia yang masih muda, Richard boleh beraksi bersama skuad B-23 atau pun skuad senior yang masing-masing di bawah kendalian E. Elavarasan dan juga Kim Pan-gon.

Terdahulu, ejen kepada pemain itu turut memuat naik foto Richard yang menerima kunjungan daripada kerabat Diraja Pahang iaitu Tengku Fahad.

Walaupun ada yang mengaitkan pemain itu dengan Sri Pahang FC, namun besar kemungkinan ia tidak akan menjadi kenyataan kerana rata-rata peminat mahu beliau kekal di Charlton kerana liga EFL League One lebih kompetitif berbanding Liga Malaysia.